Thursday, October 22, 2009

PERSOALAN HUKUM DI MALAYSIA

Salam, dalam mengharungi kehidupan kadang-kala umat Islam terlalu asyik bertelagah dalam soal yang remeh-temeh sehingga lupa peranan yang lebih besar yang perlu mereka perbahaskan dan renungkan.


Berhadapan dengan isu kecil yang dipandang besar oleh sesetengah orang kadangkala memualkan. Tetapi itulah yang terjadi dan dihadapi bagi mengelakkan perselisihan menjadi lebih besar.

Wednesday, September 30, 2009

USAHAWAN MUSLIM

Lama juga tidak membicarakan soal dunia usahawan. Hari ini, 30 September 2009, saya menjadi moderator Seminar Keusahawanan Islam anjuran Akademi Pengajian Islam. Saya begitu teruja dengan para panel yang bagi saya istimewa untuk didekati.
Panel pertama: Dr Hjh Jamilah Binti Din, Ketua Pusat, Pusat Konsultasi Koperasi (Maktab Kerjasama Malaysia)
Penel Kedua: Raja Mazian Raja Mohamed, Pengarah Syarikat HIRAQ marketing & Trading (M) Sdn Bhd.

Antara perkara yang dibincangkan dalam seminar tersebut ialah berkaitan dengan ciri-ciri usahawan Muslim,

1. Usaha-wang: seseorang usahawan akan berusaha untuk menjana wang sendiri dan memberi peluang pekerjaan kepada orang lain. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Drpd Rafi' b. Hadij bahawa Rasulullah SAW ditanya mengenai apakah pekerjaan yang paling baik? Rasulullah menjawab, kerja seseorang dengan tangannya sendiri dan perniagaan yang diberkati"

Islam menggalakkan umat Islam menjalankan perniagaan kerana melalui perniagaan, umat Islam akan mempunyai sumber ekonomi yang kukuh agar mampu melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat - tangan yang di atas itu lebih mulia dari tangan yang di bawah.

Apabila umat Islam berwang/ kaya, kita akan dapat mengagih-agihkan sumber pendapatan kita yang menjadi hak orang lain kepada orang yang berhak menerima. Dengan kekayaan juga, umat Islam akan di pandang mulia dan mempunyai prestij yang tinggi di mata masyarakat.

2. Memahami jenis perniagaan yan dijalankan - Seseorang yang hendak membina perniagaan perlu memahami dengan terperinci butir-butir perniagaannya. Pembutiran ini perlu dilakukan di atas Rancangan Perniagaan. RP merupakan dokumen yang amat penting untuk memperlihatkan sejauh mana kita memahami jenis dan bentuk perniagaan kita di samping untuk meyakinkan pihak lain tentang perniagaan yang kita jalankan. Ia amat berguna ketika kita hendak memohon pinjaman perniagaan dan mendapatkan tender untuk sesuatu projek.

Selain itu, perniagaan yang dipilih mestilah atas dasar minat dan faham untuk melakukannya. Kita akan mudah kecundang apabila tidak memahami dengan sedalam-dalamnya sesuatu perniagaan yang hendak dijalankan.

3. Berilmu - apa juga bidang yang kita ceburi mestilah dengan ilmu. Seseorang yang hendak menjadi usahawan perlu rajin membaca, menghadiri seminar atau bengkel yang berkaitan dengan keusahawanan agar mempunyai idea dan memperolehi tip-tip yang berguna untuk berjaya dalam keusahawanan. Selain ilmu formal, pengalaman dalam kehidupan juga boleh dijadikan ilmu yang bermanfaat kerana kehidupan merupakan Universiti yang paling berpengaruh dan hebat.

4. Kekuatan -bidang keusahawanan memerlukan kekuatan fizikal, mental dan rohani. Semangat dalaman amat penting untuk melahirkan komitmen yang tinggi untuk meneruskan bidang ini walaupun sering menghadapi kegagalan. Belajar melalui pengalaman para usahawan yang berjaya amat membantu untuk membina motivasi diri sebagai usahawan.

5. Keyakinan diri bahawa rezeki itu daripada Allah SWT - Para usahawan mesti yakin bahawa rezeki itu adalah kurniaan daripada Allah SWT. Keyakinan ini akan memberi kita kekuatan dan keberanian untuk menghadapi segala cabaran jatuh dan bangun dalam perniagaan.

6. Keberkatan - Allah SWT menggalakkan perniagaan tetapi melarang melakukan riba'. Seseorang yang hendak menjadi usahawan perlu memulakan perniagaan dengan jalan yang diberkati dan diredai sumbernya terutama dalam persoalan pinjaman modal. Keberkatan dalam perniagaan akan menjamin keberkatan dalam sepanjang urusan perniagaan yang dijalankan kerana aktiviti perniagaan yang kita jalankan adalah jambatan untuk kita menuju ke akhirat. Selain itu, usahawan muslim mestilah berusaha menjaga kehalalan dan kesucian produk yang dihasilkan.

7. Kemewahan - Islam tidak menghalang umatnya hidup mewah hasil dari perniagaan. Tetapi kemewahan yang dikurniakan perlu diletakkan di tempatnya. Sebahagian daripada pendapatan kita sebenarnya terdiri daripada hak orang lain yang perlu kita berikan melalui ajaran syariah. Antaranya ialah melalui sedekah, zakat, derma dan hibah. Malah kemewahan akan menjadikan umat Islam di pandang tinggi oleh masyarakat bukan Islam.

8. Jelas hala tuju dalam keusahawanan - Hala tuju utama usahawan Muslim ialah mendapatkan keredaan Allah SWT dan mengabdikan diri kepada-Nya.

9. Mulakan dengan sunnah yang kecil untuk membiasakan diri dengan perkara-perkara sunnah sebelum melaksanakan sunnah-sunnah yang lebih besar- solat dhuha, solat istikharah, mengamalkan pemakanan yang disunnahkan dan sebagainya secara konsisten.

10. Hari ini mesti lebih baik dari semalam - perjalanan hidup kita mesti kita lalui dengan penambahbaikan setiap hari. Jika kita masih ditakuk yang lama, kita akna tergolong dalam kalangan orang yang rugi.

11. Cipta peluang - menjadi usahawan mestilah sentiasa mencipta peluang dan ruang yang ada dalam bidang tersebut. Kita perlu sentiasa peka dengan perkembangan semasa, bersikap kreatif dan inovatif bagi memastikan kita melaksanakan 'jihad ekonomi'.

Jangan hanya melihat tangga di depan mata, tetapi cuba tangga itu didaki untuk sampai ke puncaknya.

Inilah antara pengisian yang mampu saya kongsikan untuk pembaca yang menginginkan maklumat tentang bidang keusahawan. Mudah-mudahan ilmu yang berguna ini akan mampu membina kekuatan dan kreativiti kita dalam bidang keusahawanan.

p/s: teruja nak terus jadi usahawan daie.

Thursday, September 17, 2009

HIBA TANPA AYAH DI HARI RAYA

Mengimbau kenangan lama bersama ayah adalah kenangan yang amat indah dan membahagiakan.


Sebagai anak ke-6 dari 11 orang (keluarga besar) pastinya meletakkan diriku di tengah kekalutan keluarga. Pasti ibuku yang kupanggil 'mae' terlalu sibuk melayan karenah anak-anak yang masih kecil.


Aku pula bukan anak yang tahu duduk diam. Langkahku ada lahir dari rasa ingin tahu yang amat kuat kepada setiap benda yang dilihat dan dipegang. Malah sifat itu menjadikan diriku seorang kanak-kanak yang 'nakal'. Lantaran itu aku sering menjadi mangsa kemarahan 'mae' yang sudah penat melayan karenahku- pahaku selalu biru oleh cubitan tragis 'mae'.



Lalu, aku sering membawa diri dengan titisan air mata menuju ke tepi kolam mengenangkan nasib diri bagai si Bawang Merah sedang merayu ibunya si ikan kaloi.

Ayah, yang kupanggil 'pae' datang dengan kasihnya, memujuk anak suntinya bagai menatang minyak yang penuh. Diberikanku gula-gula dan diajaknya aku menaiki basikal tua ke pekan untuk menikmati roti canai mamak. Gembira hatiku bukan kepalang. Dan setiap kali kesedihan itu berulang, 'pae' adalah tempatku menumpang kasih hinggalah usiaku remaja.



Apabila tiba sehari sebelum raya, kami adik-beradik akan berkumpul untuk mengejar ayam kampung yang akan dijadikan rendang raya. Susup-sasap ayam dikejar berlari sehingga menyusup ke semak yang menyebabkan ayam tersebut terkepung. Setelah ditangkap, aku yang akan memegang ayam tersebut sementelah 'pae' menyembelihnya. Adik-beradikku yang lain takut untuk memegangnya. Jadi 'anak pae' ini dengan senang hati menghulurkan bantuan.

Kenangan itu hanya tinggal kenangan. 'Pae' sudah pergi buat selama-lamanya pada tahun 2003 dengan kesal diri kerana tidak sempat menatap wajahnya untuk kali terakhir. Mungkin inilah takdir anak manjanya ini. Tidak dapat mencium kening dan pipinya untuk kali terakhir. Tetapi ciumannnya di dahiku masih terasa sejuknya. al-Fatihah.


"Ya Allah, berikanlah rahmat-Mu kepada ayahku yang banyak berkorban untuk keluarganya. masukkanlah dia dalam kalangan orang yang beriman."

Pemergian 'pae' membawa episod baru dalam keluargaku apabila 'mae' membawa diri ke pondok pengajian mengisi masanya meniti usia tua. Rumah kampung yang menjadi tempat bermain semakin uzur ditinggalkan sendirian. Lalu, satu masa gugur menyembah bumi dan terkuburlah kenangan kami sebagai anak desa...



Lagu anak desa sudah tidak mampu kami nyanyikan, kerana lambaiannya sudah kosong. Hanya tanah kosong menyambut kehadiran yang pastinya melumatkan hati kami yang pernah melompat, memanjat, berlari dan meniti setiap sudut kehidupan di perkarangan rumah itu.



Bila tiba hari raya adalah hari yang paling pilu untuk dikenang. Kampung yang dirindui sudah tidak mampu kami jejaki lagi. Hanya sempat menumpang rumah adik-adik yang menyemai bakti di bumi bertuah ini yang membolehkan kami di kota menyedut udara segar desa lagi.

Tiada lagi suara 'pae' bertakbir di malam raya dan di subuh raya. Tiada kedengaran lagi suara 'pae' berdendang sambil mengayuh basikal tuanya. Tiada lagi suara 'pae' memujuk diri ini agar jangan menangis lagi.



"Pae, air mata ini akan terus mengalir bukan kerana hambatan 'mae' tetapi hambatan kehidupan yang semakin sukar untuk ditempoh. Suara memujukmu bertukar kepada pujukan teman dan anak-anakku yang mengisi setiap ruang girangku dan resahku. Pae, doaku sering kutitip untukmu yang abadi menghadap Robb. Semoga kita dipertemukan di pintu syurga bagi mengecap seluruh rindu yang bernaung."

Thursday, August 6, 2009

KAMU TIDAK SENDIRI




Tengahari ini menemukan aku dengan teman-teman sekerja di kafe. Sambil makan, pasti ada cerita-cerita yang boleh dikongsi bersama terutama dalam usaha meningkatkan kepakaran dan mengurangkan stress dalam kerja-kerja seharian.




Biasanya cerita yang keluar lebih kepada luahan rasa dan suara hati yang sedih, gembira atau rasa tidak puas hati terhadap sesuatu yang tidak diperolehi atau stress dengan situasi yang mengganggu ketenangan dan ketenteraman hati untuk melaksanakan tugas seharian. Rupa-rupanya semua orang akan tetap menghadapi situasi kegawatan hati dan kesedihan akibat dari sesuatu perkara yang tidak diperolehi atau diperolehi dengan sebab terpaksa dan sebagainya.
Antara cerita yang keluar ialah tentang KPI yang digembar-gemburkan. Penilaian prestasi yang begitu ketat telah melemahkan semangat para kakitangan akademik yang sedia dibebani dengan tugas pengajaran, penyelidikan, penulisan dan pentadbiran. Malah kedengaran keluhan pensyarah senior yang tidak mahu melanjutkan kontrak kerana malas hendak melayan kehendak KPI yang memaksa mereka bekerja melebihi kemampuan.
Kedengaran juga keluhan seorang rakan yang baru mendapat Ijazah kedoktorannya tetapi belum dinaikkan pangkat ke jawatan pensyarah kanan. Pelbagai usaha dilakukan untuk memperolehi haknya sebagai kakitangan sehingga sanggup menemui VC mengadu hal. Lebih malang lagi terdapat juga kakitangan akademik yang sudah memperolehi PhD tetapi masih dalam gred DS45 sedangkan beliau sudah layak ke gred DS51 secara automatik.
Aku hanya memerhatikan situasi ini dan cuba berfikir apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang tidak memperolehi apa yang sepatutnya mereka perolehi. Seorang lagi mangsa keadaan ialah apabila sahabat ini, baru sahaja balik dari cuti belajar tiba-tiba mendapat "anugerah berprestasi rendah". Dengan terkulat-kulat sahabatku berfikir pengukuran yang dilakukan oleh pihak pentadbiran dalam masa 6 bulan beliau melaporkan diri ini. Setahunya KPI dinilai setahun sekali atau dengan kata mudahnya setelah setahun beliau mendaftar tugas semula.
Ah, begini rupa-rupanya situasi dunia pekerjaan "makan gaji". Ada sahaja yang tidak kena dalam perjalanan karier yang dilalui akibat kelalaian, kealpaan atau sikap sambil lewa pihak-pihak tertentu dalam menjaga kebajikan hal ehwal orang bawahannya.
Bagiku, semuanya kutelan lantaran aku hanya ibarat timun yang berada di kalangan buah durian. Jika aku ingin menggolekkan tubuhku ke atas mereka, aku akan luka. Jika mereka menggolekkan badannya ke atasku, aku juga akan luka. Tapi jika aku meneruskan tugasku tanpa menggolekkan diri atau digolekkan, aku akan selamat, walau orang lain anggap diriku pengecut atau tidak tahu menuntut hak dan orang lain akan pijak kita.
Ah, kita bukan sendirian sebenarnya dalam menghadapi saat-saat getir dalam hidup. Orang lain juga mempunyai cerita mereka yang tersendiri dengan suka-duka mereka yan kesemuanya menjadi pengalaman yang akan mematangkan kita dalam soal kehidupan.

Lalu aku cuba membuka tip-tip yang pakar psikologi cuba kirimkan untuk hati-hati yang walang ini bagaimana mahu mengurangkan stress yang dialami;

Bertenang

Bernafas dengan dalam

Berkata: relakslah..

Beribadat

Bercakap dengan seseorang

Berurut

Berehat dan mendengar muzik

Beriadah

Bersenam

Berfikiran positif

p/s: selagi kita masih boleh berdiri, beribadat dan dapat meneruskan hidup, laluilah kehidupan ini dengan ikhlas dan tenang. Hidup ini tidak terlalu lama. Ia hanya persinggahan sementara untuk mengadap pemerintah yang lebih Abadi.





Wednesday, July 29, 2009

MUDAHKAH MELAFAZ MAAF?


Kemaafan ibarat bunga yang sentiasa wangi, walaupun sudah kering. Ia umpama air yang jernih yang mengalir di denai, sejuk dan menyejukkan. Kemaafan juga umpama matahari yang membahang, mencairkan besi dan meretakkan batu. Itulah kekuatan nilai kemaafan yang diucapkan daripada bibir yang mulus dan hati yang tulus.


"Tak mengapa, itu perkara kecil, saya sudah memaafkan awak," mudah diungkapkan oleh sesiapa saja. Uagkapan yang lahir dari naluri yang inginkan kehidupan tanpa bebanan dosa sesama manusia. Tetapi kadang kala jiwa manusia menjadi keras apabila ego menguasai diri dan nafsu menguasai pertimbangan. Hilanglah rasa simpati lalu kesalahan kawan didendami berpanjangan.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Mansur ad-Dailami yang bermaksud, "Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang, maka Allah akan menjadikan untuknya penasihat daripada hatinya (sendiri)."


Berdasarkan hadis tersebut, jika dihayati pasti hati yang pada mulanya membara, tiba-tiba sahaja akan sanggup memaafkan kesalahan kawannya, walhal tadinya bagaikan hendak kiamat atau seperti perang nuklear sedang meletus mengenangkan kesalahan yang pihak kawan lakukan kepadanya. Hal ini kerana adanya campur tangan Allah, yang mahu hambanya menjadi pemaaf, orang yang baik hatinya dan jiwanya.


Sifat maaf juga adalah sebahagian daripada sifat Allah. Allah maha pengampun dan pemaaf terhadap hamba-Nya walau sebesar mana dosa hamba-Nya, kecuali mensyirikkan-Nya. Kemurahan sifat Allah ini merupakan kurniaan yang amat berharga yang perlu digunakan oleh manusia yang tidak pernah sunyi daripada kesilapan.


Sifat kemaafan Allah ini perlu dipraktikkan oleh manusia dalam menjalani kehidupan di dunia, walau nilai kemaafan itu tidak semulia dan sekudus kemaafan Allah terhadap hamba-Nya.


Manusia ialah hamba yang mempunyai segala macam kelemahan seperti terlupa, tersilap, tersasul, tidak perasan, tidak terfikir dan terlanjur. Akibatnya kelemahan tersebut sering menimbulkan pelbagai masalah, terutama perhubungan sesama manusia.


Kesilapan dan kelemahan itu mengakibatkan perselisihan faham, pergaduhan, pertelingkahan dan dendam. Oleh itu, bagi mengelakkan perbalahan yang berpanjangan sesama manusia, Allah menganjurkan umatnya supaya bersikap saling memaafkan. Hari ini mungkin orang lain bersalah dengannya, belum tentu pada hari yang lain dia tidak bersalah dengan orang lain.


Allah berfirman dalam surah al-Fajr ayat 27 - 30 yang bermaksud, "Wahai orang yang bernafsu mutmainnah, pulanglah ke pangkuan Tuhanmu dalam keadaan reda-meredai dan masuklah ke dalam golongan hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku."


Sifat pemaaf akan memperlihatkan kemuliaan hati seseorang, terutama apabila berhadapan dengan kesalahan yang besar. Ia memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang tinggi terhadap orang yang dianiayai. malah sikap ini mampu menundukkan api kemarahan yang sedang membara dan meleraikan perasaan ego dan tinggi diri manusia.


Kemaafan yang disertai dengan keikhlasan akan mampu emndidik manusia untuk memperbaiki diri, memperbaiki sikap pemarah dan memperbaiki perasaan berputus asa. Allah menjanjikan kemaafan kepada umatnya yang melakukan kesalahan kepada-Nya. Hal ini merupakan janji yang boleh meninggalkan motivasi manusia dalam usaha memperbaiki dirinya. peluang yang diberi akan menjadi harapan baru kepada manusia untuk emmulakan kehidupannya semula setelah lama bergelumang dengan noda dan dosa.


Renunglah,jika Allah mampu mengampunkan dosa hamba-Nya walau sebesar gunung, mengapa tidak insan yang kerdil itu tidak berusaha untuk menjadi pemaaf sesama manusia?


Dendam hanya akan menjadi api di dalam sekam, yang boleh membinasakan diri sendiri dan orang lain dalam diam-diam. Jika kemaafan tidak disegerakan, akan wujud perpecahan dan perbalahan yang berpanjangan.


Thursday, July 16, 2009

INDAHNYA DUNIA ILMU


Hidup dalam dunia ilmu memang mengasyikkan. Setiap kali ilmu dikaji, dibaca, digali dan dipelajari, ia seakan semakin jauh untuk memaksa diri untuk terus mengejarnya. Andai kita lelah, ilmu itu akan terus meninggalkan kita. Tetapi jika kita terus berhati waja, ilmu yang kita kejar tetap terus pergi tetapi kita masih mampu mengutip jejaknya dan menikmati keasyikannya.


Sejak usia menengah, saya sering mengisi ruang cita-cita dengan perkataan "meneruskan pelajaran". Teman-teman mempersoalkan cita-cita itu. Cita-cita adalah sesuatu yang perlu dikejar dan dicapai. "What you want to be?" Tapi saya tetap dengan kenyataan itu. Mahu terus mengejar 'pelajaran'. Rupa-rupanya 'pelajaran' yang saya fikir pada masa itu tidak sebagaimana 'pelajaran' yang saya fahami masa kini. Saya seakan menjadi ketagih ilmu dan ingin mengisi setiap ruang hidupku dengan ilmu. Ya, tinta selaut masih tak mampu membongkar rahsia ilmu Allah SWT.


Pemahaman seseorang tentang cita-cita "meneruskan pelajaran" amat berbeza dengan pemahaman yang berada dalam mindaku. Bagiku, pelajaran walau apa bentuk dan isinya perlu terus dipelajari. Walau kita perlu menghabiskan sebahagian dari kewangan, tenaga, masa, hiburan, keenakan hidup dan istirehat kita.


Saya begitu kagum dengan pelajar-pelajar PJJ di UM yang setiap minggu menghayun langkah walau sejauh Perlis, Pulau Pinang, Johor dan Kelantan, masih meredah Kuala Lumpur demi ilmu. Saya juga begitu teruja dengan kesungguhan warga emas yang datang bertongkat dan berdengkat malah ada yang berbantu deria pendengaran semata-mata kerana ilmu datang setiap hujung minggu mengadap para guru di UM ini. Hatiku benar-benar tersentuh apabila mereka berjaya hingga ke tangga terakhir pengajian walau ada yang hingga 4 tahun berulang-alik dari jauh.


Aku juga semakin teruja apabila ILIM menjemputku memberi pengajaran ilmu penulisan kepada 15 orang peserta dari kalangan kakitangan kerajaan. Apa yang kupandang adalah dari relung hati mereka - sejauh mana mereka benar-benar datang untuk belajar menulis dan berazam untuk menulis. Aku faham, menjadi penulis bukan semudah belajar 4 hari itu. Tetapi yang aku inginkan dari hasil bengkel itu adalah kecintaan mereka kepada ilmu. Kecintaan kepada ilmu yang akan terus memandu mereka menjadi insan yang sentiasa membawa manusia ke jalan kebenaran - sebahagian dari tugas seharian mereka dari jabatan agama. Mencinta ilmu dan ingin teryus mencarinya hingga ke liang lahat.


Nikmat sungguh ilmu itu jika terus dicari. Dan aku ingin menjadi sehebat mereka itu, mencari ilmu yang sewajarnya kucari. Perjalananku masih jauh dalam menjangkau apa yang aku inginkan sebagaimana seolah-olah aku akan terus hidup selama-lamanya. Lantaran itu, aku mahu mendapatkan kekuatan meneruskan pelajaran. Dan bulan depan Insya'Allah aku akan kembali bergelar Mahasitua dalam bidang pengajian Islam, pengajian yang pernah aku leraikan dari genggaman suatu waktu dulu kerana mengejar keinginan menjadi seorang penulis.


Tetapi syukur, lorong yang Allah berikan amat adil. Dalam lepas, aku memperolehi lebih dari yang aku kehendaki dalam hidup ini. Mudah-mudahan yang hendak kucapai dan kugapai akan menjadi realiti untuk memantapkan kepakaranku dalam dunia dakwah.


Terima kasih Allah SWT. Kurniakan aku rahmatmu lagi. Rahmat yang berpanjangan dalam setiap langkahku mencari ilmu yang Engkau redhai. Ameen...


p/s Ustazah Fariza, Ustaz Ghaffar, Ustazah Rogayah, Ustaz Zulkiple - moga persahabatan kita nanti akan menjadikan kita insan yang akrab dalam dunia dakwah. Nantilah diriku menjadi muridmu kelak ... :-)

Monday, May 25, 2009

PENCARIAN AYAM JANTAN

Kenapa ayam jantan berkokok? Kenapa anjing menyalak?

Dua soalan yang diajukan kepadaku cukup menyedarkan aku dari kealpaan dunia yang serba kalut, serabut dan hiruk-pikuk dengan pelbagai ragam manusia, pelbagai masalah, pelbagai fitnah dan macam-macam perlakuan yang menjadikan jiwa dan raga kita tidak pernah menemukan ketenangan..


Ayam jantan hanya ada di desa yang serba damai dan nyaman. Tenang dan menyejukkan jiwa. Pastinya ketenangan itu mendamaikan jiwa-jiwa untuk sujud dengan penuh kepasrahan kepada Maha Pencipta. Lantaran itu, tatkala damai itu, malaikat turun ke bumi untuk membawa rahmat Ilahi kepada manusia yang sujud memohon restu dan redha Ilahi. Tatkala hening dini hari itu, ayam jantan berkokok untuk menjadi saksi kehadiran malaikat yang membawa rahmat...


Anjing-anjing menyalak lantaran kelihatan syaitan sedang mengganggu umat yang kalut dengan kehidupan dan lupa mengingati Tuhan. Lupa berzikir menenangkan hati. Lupa sehingga hati sentiasa susah dan tidak keruan.

Lalu, di mana hati mahu dibawa...

Thursday, May 21, 2009

MENJADI INSAN PROFESIONAL DALAM MELAYARI KEHIDUPAN


Assalamualaikum,

Lama rasanya tidak melayari laman ini lantaran kemelut kehidupan yang sentiasa mengejar dan dikejar. Namun dalam meniti hari-hari banyak peristiwa yang berlaku yang boleh dijadikan iktibar dan teladan sehingga meningkatkan lagi kekuatan diri dalam menghadapi dugaan hidup.


Seorang rakan telah menghantar email (seakan tahu akan isi hatiku) yang turut saya forwardkan kepada rakan-rakan terdekat. Bunyi email itu, "Jika doa kita dimakbulkan, tandanya Allah SWT mengasihi kita. Jika doa kita lambat dimakbulkan, tandanya Allah SWT ingin menguji kita. Jika doa kita tidak dimakbulkan, tandanya Allah SWT merancang yang lebih baik untuk kita." Oleh itu, La Tahzan dalam menghadapi dugaan hidup ini. Dugaan hidup yang hanya akan kita lalui bersifat sementara - sementara menuju hari yang pasti (kematian).


Rupanya dalam kita hendak melaksanakan dakwah di jalan Allah SWT, ia tidak semudah ABC atau semudah ajakan "Jom makan" yang pasti semua orang suka untuk pergi bersama-sama kita, tak kira mereka sahabat handai, musuh, kekasih, saudara mara atau keluarga sendiri. Dalam ikhlas kita bergerak mencari kebenaran dan mengajak kepada kebaikan pasti ada bibit-bibit fitnah apabila jalan yang kita lalui sudah mula tergelincir dari landasannya.


Oleh itu, dalam usaha menjadi pendakwah, hayati sifat-sifat di bawah ini sebagai muhasabah diri seterusnya mempastikan apa yang kita lakukan kembali ke jalan Allah SWT,


CIRI-CIRI INDIVIDU EMOTION QUOTION (EQ RENDAH)

  • Tidak bertanggujawab terhadap perasaan sendiri

  • Tidak boleh meluahkan perasaan seperti menyatakan "Saya rasa...."

  • Tidak boleh menjelaskan perasaan yang dialami

  • Menganggu dan tidak mengiktiraf orang lain

  • Berleter

  • menghukum orang lain

  • menyembunyikan perasaan sendiri

  • menyalahkan orang lain

  • bertindak mengikut perasaan

  • tidak peka kepada perasaan orang lain

  • tidak berwibawa dan estim diri sendiri

  • selalu rasa tidak selamat dan tidak mahu kalah

  • anggap diri sebagai mangsa yang tidak berupaya

  • sering kecewa, sedih dan teraniaya

  • suka melahirkan perasaan menggunakan perkataan yang tidak sopan

  • suka mengungkit

CIRI-CIRI INDIVIDU EMOTION QUOTION (EQ) TINGGI


  • Boleh melahirkan perasaan dengan jelas

  • tidak takut melahirkan perasaan

  • tidak menjadi hamba perasaan negatif seperti takut, risau, malu, putus asa dan teraniaya

  • berupaya memahami tingkah laku bukan lisan

  • menggunakan perasaan untuk menyeimbangkan tindakan, sebab munasabah, logik dan kenyataan

  • bermotivasi dalaman

  • mengharapkan kejayaan

  • belajar daripada kegagalan

  • mengiktiraf perasaan orang lain

  • tidak jadikan ketakutan dan kerisauan sebagai penghalang

  • boleh kenal pasti pelbagai perasaan

  • ciri-ciri individu berkeyakinan diri yang tinggi

  • sikap yakin diri

  • hormat diri

  • mencari peningkatan diri berterusan

  • rasa harmoni dan tenang dalam diri

  • hubungan interpersonal yang baik

  • menerima tanggungjawab

  • menerima kekecewaan/ kegagalan dengan baik

  • tegas

  • disayangi dan menyayangi

  • self-directed atau bebas

Apabila melihat ciri-ciri yang disajikan saya teringat kata-kata rakan baik saya dari Sarawak kelmarin yang mengatakan saya sudah berubah. Lebih terbuka, suka berkata-kata dan berterus-terang tidak seperti dulu yang hanya suka senyum dan berdiam diri... inilah perubahan EQ dalam hidup kita. Usia akan meningkatkan EQ kita seandainya ditangani dan ditingkatkan secara positif. Dan segala ujian, masalah, bebanan serta tanggungjawab kita sendiri akan meningkatkan EQ kita dalam menanggapi kehidupan.

p/s: Terima kasih BT yang beriku pengalaman dan kesempatan untuk membahagiakan sebuah kehidupan yang pernah hilang. Terima kasih juga buat BT yang memberiku perasaan sakit dan walang tetapi kuat untuk terus menghadapi kehidupan. Aku masih anak bapak.

Saturday, April 18, 2009

SUAMI IDAMAN


Petang tadi, saya membaca sebuah buku bertajuk "Lelaki Soleh, kedudukan & keperibadian serta peranannya" karya Muhammad Isa Selamat- sebelum seorang rakan menelefon bertanya akan aktiviti harianku hujung minggu ini. Saya tidak memberitahu judul buku yang saya baca kerana rasanya buku itu sesuai untuk dibaca oleh kaum lelaki. Walau bagaimanapun, dalam blog ini saya ingin berkongsi bacaanku untuk kaum lelaki yang bergelar SUAMI...

Menurut penulis, seorang lelaki yang soleh ialah seorang suami yang menjadi idaman kaum isteri yang dsifatkan menjalankan tanggungjawab terhadap isterinya. Suami isteri mestilah sentiasa menghiasi diri dengan perangai-perangai yang soleh dan sentiasa berbuat kebajikan serta berusaha meraih kehidupan yang baik, kebahagiaan abadi di dunia serta kenikmatan di akhirat. Beberapa perkara yang digariskan oleh penulis terhadap suami idaman isteri ialah;
1. Pertemuan yang menyenangkan - sikap yang boleh memberikan kebahagiaan kepada isteri ialah tatkala suami pulang dari kerja, dari perjalanan jauh atau berpergiaan memperlihatkan sikap menyenangkan isterinya- memulai dengan salam, wajah berseri, dan bersalaman.

2. Memanggil isteri dengan gelaran yang menenangkan dan istimewa- berbicara dengan isteri memerlukan kepekaan perasaan dan teknik khusus.- menggunakan bahasa yang baik dan saling menghargai dalam berbicara.

3. Lemah-lembut dan jelas- perbicaraan suami terhadap isteri hendaklah jelas, perlahan, mudah diterima, dan suara yang lembut tapi mudah didengar- gunakan gelaran yang disukai isteri dan nada suara yang manja.

4. Berbincang dengan perasaan yang tenang terhadap isteri - Kebahagiaan isteri bukan dengan limpahan nafkah yang berlebihan- isteri memerlukan suami yang suka menghiburkannya dan bebas untuk berkomunikasi menyatakan keinginannya, berbincang kesukaan, menuturkan kenangan manis dan bersama-sama terlibat dengan aktiviti harian.

5. Bersenda gurau terhadap isteri- kehidupan ini penuh dengan beban masalah yang memerlukan jiwa manusia sentiasa dibajai dengan semangat, menghilangkan rasa jenuh dan bosan, menghilangkan rasa penat dan menggantikan dengan suasana yang segar. Senda gurau akan mewujudkan dan mengukuhkan tali kasih sayang antara suami isteri- bergurau di perjalanan, gurauan ketika di rumah, kemesraan ketika makan, kemesraan ketika mandi, dan senda gurauan menyenangkan diri sendiri.

6. Saling tolong- menolong - kehidupan berumahtangga memerlukan kerjasama suami isteri. Suami hendaklah membantu meringankan tanggungjawab isteri bagi menumbuhkan perasaan senang isteri. Pertolongan ini akan menumbuhkan kelembutan dan ketulusan hati isteri dan menghubungkan tali mawaddah wa rahmah antara keduanya. Anggap isteri sebagai sahabat dan kekasih bukannya hamba atau khadimah.

7. Musyawarah & berbincang antara suami isteri - kehidupan berumahtangga perlukan musyawarah dalam melaksanakan sesuatu keputusan sama ada yang dicadangkan oleh isteri atau oleh suami sama ada urusan besar atau urusan kecil. Musyawarah akan menciptakan ketenangan di hati isteri dan akan berasa dirinya dihargai serta berasa bertanggungjawab sehingga menumbuhkan kemampuan berfikir dalam mengatur kehidupan dan urusan yang lebih besar- perhatian dalam menyampaikan masalah dan meminta pendapat, bertenang menyelesaikan masalah, memberi pelajaran kepada isteri tanpa mendesaknya untuk memberi pendapat, berlapang dada menerima pendapat yang bertentangan, tidak mencela pendapat isteri yang keliru dan ucapkan terima kasih dengan pendapat isteri.

8. Menjalin silaturrahim - orang soleh akan sentiasa mengunjungi dan menziarahi sanak-saudara sama ada di pihak isteri atau suami. Hubungan silaturrahim tersebut akan mendatangkan kebahagiaan serta mewujudkan kebajikan dalam keluarga.

9. Panduan semasa hendak berpergian - suami yang hendak meninggalkan isteri dan keluarganya merupakan perpisahan dengan orang yang dicintai;


  • Untuk mewujudkan kebahagiaan sebelum bertolak, suami dianjurkan duduk bersama isterinya, berbincang dengan penuh kemesraan dan kasih sayang. Bisikkan nasihat dan wasiat untuk selalu memegang teguh yang haq dan bersabar. Berikan pelukan kemesraan dan ciuman serta berjanji untuk setia dan segera kembali.

  • Memohon doa restu isteri - minta isteri sentiasa mendoakan agar sentiasa dalam taufik dan istiqamah

  • Meninggalkan perbelanjaan yang cukup- tinggalkan isteri dan keluarganya dengan sahabat atau saudara yang dipercayai dan tinggalkan nafkah yang mencukupi- perhatian ini akan mampu menanamkan bahagia di dada isteri kerana perhatian yang tinggi kepadanya.

  • bertanya khabar meskipun berjauhan - telefon akan menjadikan isteri mendapat perhatian dan dicintai suami bahkan akan merasai kebahagiaan meskipun ketiadaan suami. Ingatkannnya agar sentiasa menjaga ketakwaan kepada Allah, nyatakan perasaan rindu dan selalu mengenangkannya.

  • Segera pulang menemui isteri - perkara yang membahagiakan isteri ialah apabila suami akan segera kembali sebaik sahaja urusannya selesai. Kembali menemui isteri dengan segenap perasaan rindu dan tenang bila bersamanya serta meringankan beban isteri yang ditinggalkan.

  • Membawa cenderahati untuk isteri - bawalah hadiah yang menyenangkan isteri. Hal ini sangat besar manfaatnya untuk menambahkan rasa cinta dan kasih sayang serta bahagia isteri.

  • Mengkhabarkan masa kepulangan- Beritahu isteri masa kepulangan. Jangan pulang secara tiba-tiba terutama pada waktu malam. Hal ini akan memberi peluang kepada isteri untuk mempersiapkan diri untuk menemui suami tercinta.

  • Mengajak isteri pergi bersama - jika tiada halangan, ajak isteri untuk bersama dalam pemergian bagi melahirkan jiwa tahan uji isteri, menyingkap tabiat sebenar, kesempatan mendekatkan hubungan dan mengurangkan kebosanan isteri di rumah.

Demikianlah pesanan yang diungkapkan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada isteri-isterinya. Mudah-mudahan perkara yang baik ini akan mampu menghilangkan perasaan walang isteri ditinggalkan dan suami di perantauan.


Thursday, April 9, 2009

KELEBIHAN SOLAT DHUHA


Banyak riwayat yang menyatakan kelebihan atau keutamaan solat dhuha antaranya;

a. Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan Abu Daud dari Abu Dzar r.a yang bermaksud; "Hendaklah setiap kamu bersedekah untuk masing-masing ruas tulang badannya. Maka setiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh kebaikan aalah sedekah, melarang keburukan adalah sedekah dan sebagai ganti dari semuanya itu, cukuplah mengerjakan solat dhuha sebanyak dua rakaat."


b. Ahmad dan Daud meriwayatkan dari Buraidah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Dalam tubuh manusia itu terdapat 360 ruas tulang. Hendaklah dia bersedekah untuk setiap ruas itu,". Para sahabat bertanya : "Siapakah yang mampu melaksanakannya itu, ya Rasulullah?" Rasulullah SAW menjawab, "Kotoran yang ada di masjid, lantas ditutupnya dengan tanah atau menyingkirkan sesuatu gangguan dari tengah jalan itu bererti sedekah. Atau sekiranya sanggup, cukuplah diganti dengan mengerjakan solat dhuha dua rakaat."


c. Hakim dan Thabrani meriwayatkan dari Nuwas bin Sam'an, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud, "Allah Azza wa Jalla berfirman: "Wahai anak Adam, janggan sekali-kali engkau malas mengerjakan solat sebanyak empat rakaat pada permulaan siang (solat dhuha), kelak akan Aku cukupkan keperluanmu pada waktu petangnya."


Jika amalan kita pada hari ini lebih baik dari semalam, ia menunjukkan kita tergolong di kalangan orang yang beruntung. Sebaliknya jika hari ini lebih buruk dari semalam, bermakna kita tergolong di kalangan orang yang rugi. Begitulah bahawa rezeki itu adalah pemberian Allah SWT dan hanya kepada-Nya sahaja kita memohon.

Monday, April 6, 2009

RAHSIA KEJAYAAN LIM GOH TONG

"Kekayaan sederhana datang daripada jimat-cermat manakala kekayaan besar adalah kehendak Tuhan"
"Berbuat baiklah kepada orang lain, nanti adalah caranya kebaikanmu dibalas."
"barulah saya sedar akan faedah membuang sifat pemalu. Sekiranya saya tidak keluar dari dunia kecil saya yang selesa untuk beramah-tamah, tidaklah saya berkenalan dengan mereka dan mendapat ganjaran makan malam yang lazat."
"Semasa saya membuat keputusan untuk membangunkan Genting kira-kira 28 tahun lalu, ada saja orang emngatakan saya gila dan tentu gagal. Tetapi, saya membinanya juga dengan tetap dan cekal sehingga menjadi tempat peranginan untuk percutian yang terkenal di kalangan antarabangsa."
Sebagai umat Islam, setiap amalan dan pekerjaan yang kita lakukan adalah bersandarkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Sikap dan sifat seorang bukan Islam ini perlu dicontohi agar mampu membina semangat juang yang tinggi dalam meningkatkan ekonomi umat Islam.

Thursday, April 2, 2009

IKAN DUYUNG


Puteri Duyung berenang-renang di perkarangan taman batu karang yang dihiasi kerikil dan hidupan lautan. Kemudian melompat ke atas tebing batu karang yang agak rata di atasnya, di atas permukaan air. Perkarangan batu seluas 10 meter itu diselangi oleh beberapabukit perbatuan yang menonjol sering menjadi tempat persembunyian Duyung dan teman-temannya, Ikan Emas, Koi, Tiger Barb, Guppy dan Oscar. Mereka sering menemaninya sambil menyanyi lagu-lagu syahdu.

Duyung menggoyang-goyang ekornya yang berkilat. Diambilnya tongkat sakti pemberian pari laut. Tongkat itu adalah tongkat kesayangannya. Hanya satu sahaja permintaan yang boleh ditunaikan, itulah pesanan pari laut. Dan Duyung melihat ekornya. Dia begitu inginkan kaki yang cantik. Kaki yang membolehkannya naik ke daratan, menari dan menyanyi mengikut rentak lagu yang dimainkan. Tapi syaratnya ia digunakan dengan kasih sayang. Duyung memandang langit dan menyanyi. Tapi kali ini semua teman-temannya agak hairan. Nyanyian duyung terlalu menyentuh hati. Gemersiknya melenakan Ikan Emas yang sedang bercanda dengan Koi. Puteri Duyung menyanyi lagu-lagu cinta...

"Puteri Taman, kenapa lagumu sedemikian rupa?," Oscar antara ikan yang paling besar bertanya dengan penuh mesra dan lembut. Puteri Taman adalah gelaran yang diberikan kepada Duyung kerana dia yang menjaga dan menguruskan taman karang di situ.
"Puteri sedang bercinta ya.." Oscar terus menebak.
Puteri Duyung hanya tersenyum mengalihkan mukanya melihat suria kemudian berkalih ke lautan luas sambil duduk di karang, mengibas-ngibas ekornya. Rambutnya yang panjang dan basah diusap-usap.
"Siapa gerangan putera yang berjaya mengusik hatimu itu Puteri?" Oscar terus mendesak. Puteri Duyung meredupkan matanya memandang Oscar. Duyung menarik nafasnya berat.

Tiba-tiba, batu karang bergegar. Duyung tercampak di dalam air. Oscar merapat ke badan Duyung.
"Puteri, ada bahtera terlanggar taman kita." Oscar segera memanggil teman-teman yang sedang enak bermain di perkarangan. Mereka semua berkumpul dengan cemas. Bahtera sebesar benteng batu karang itu betul-betul berhenti di hadapan tempat Duyung bermain. Duyung berdebar dan berenang-renang meninjau.

Seorang nakhoda segak keluar dari perut kapal menggagahi batu karang itu. Seorang Nakhoda yang berpakaian kemas, berkopiah dan berjanggut sejemput. Matanya yang redup memperlihatkan kewalangan hatinya memandang ke bahtera yang menjadi tanggungjawabnya. Kelasi-kelasi sibuk berlari-larian di atas dek untuk mencari tempat yang selamat.

Sesekali muka nakhoda menyeringai menahan perit tajam batu karang. Air matanya mengalir menahan keperitan itu. Tetapi digagahi juga demi sesuatu yang dicari. Matanya meninjau-ninjau di lautan lepas dan dipersekitaran karang. Kemudian kembali ke buritan bahteranya.

Duyung berenang mendekati antara takut dan berani. Dengan suara halus dan merdu disapa nakhoda yang sedang memeriksa buritan kapal yang bocor terlanggar karang.
"Wahai tuan, apakah resah yang melanda tuan yang boleh puteri bantu?" Duyung memberanikan diri sambil menyembunyikan diri di balik batu dan menggoyang-goyangkan ekornya bersedia untuk lari jika dalam bahaya.

"Oh, hamba Budak Tua. Putera yang menerajui bahtera ini." Budak Tua teruja melihat Duyung yang seakan pernah dilihatnya suatu waktu dulu. Budak Tua mengerutkan wajahnya. Ya, dia pasti Duyung inilah yang dicari selama ini. Duyung yang pernah ditemuinya sewaktu belayar menyeberang Laut China Selatan untuk berdakwah kepada anak bangsa. Menyebarkan Islam kepada generasi Sarawak yang dahagakan ilmu dan hidayah, 20 tahun yang lalu. Tapi Duyung ini agak lain. Duyung yang sudah berusia. Tetapi tetap cantik dengan senyuman yang sentiasa mekar- senyuman yang pernah menawan hati lelakinya.

"Err, Puteri Taman ke?" Budak Tua mencari kepastian kepada tebakannya. Duyung terpaku dan terus melompat ke atas karang. Ditatapi wajah Budak Tua. Direnung matanya. Matanya, ya mata itulah yang dirindui selama ini. Mata itulah yang pernah menyentuh hatinya, 20 tahun lalu. Mata itulah menjadikannya terus menyanyi dan ingin menari.

"Tuan, Budak Tua?" Duyung terus menyanyi lagu ayat-ayat cinta yang pernah mereka lagukan suatu waktu dulu. Lagunya terlalu gemersik sehingga Duyung lalai dan alpa bersahut-sahutan dengan suara Budak Tua.

"Walid, bagaimana kapal kita?" Duyung tersentak dalam lalainya. Duyung segera melompat ke gigi air semula. Nafasnya terhenti sekejap. Matanya dipejamkan semula. Bila debarannya mula longgar, diintai suara itu dari sebalik batu karang yang agak tinggi. Seorang anak muda seiras wajah Budak Tua menjengok dari atas dek bahtera. Tidak sedar kewujudan Duyung.
"Kena tampal dulu. Along jaga kelasi-kelasi yang lain. Nanti Walid usahakan." Jerit Budak Tua dengan suara gugup. Budak Tua memandang kembali kepada Duyung yang mengintai di sebalik bukit batu itu.

"Puteri, jangan pergi. Jangan tinggalkan saya!" Budak Tua berbisik merayu. Duyung kembali mendekati Budak Tua dan melompat di tebing perbatuan. Budak Tua duduk di samping Duyung dan merenung lautan di hadapannya. Duyung tunduk sambil mengirai rambutnya.
"Tapi, sampai bila Tuan di sini? Nanti sesudah ditampal, pasti Tuan akan pergi belayar kembali." Duyung menjadi hiba. Dia tahu kapal itu akan belayar kembali meninggalkannya, seperti 20 tahun yang lalu.

Tetapi kehadiran Budak Tua adalah dambaannya. Budak Tua yang sering dirindui dan dinanti di perkarangan itu. Budak Tua yang mampu menyahut cabaran cintanya. Sekarang Budak Tua itu sudah di depan mata. Duyung memerhatikan ekornya yang separuh di gigi laut. Apa yang Duyung hendak sebenarnya? Adakah cinta lama mahu diulang kembali?
Oscar menggigit-gigit ekor Duyung. Ikan Tiger Barb yang garang menjeling. Duyung menepis-nepis.

Duyung merenung wajah Budak Tua yang dirindui tetapi Budak Tua terus asyik memandang lautan atau mungkin memandang daratan yang sejauh mata memandang. Duyung mengesotkan tubuhnya untuk ke air.
"Jangan Duyungku," Budak Tua terus menangkap tangan Duyung dengan kejap. Tangan yang sudah keredut, tetapi tetap panas. Sepanas perasaannya.
Air mata membasahi pipi Duyung. Air mata biru, sebiru hatinya yang pilu. Pegangan Budak Tua tidak mampu untuk dicegah. Duyung melekapkan pipinya ditangan Budak Tua.

Duyung menyanyi lagi. "Bahteramu akan belayar jua Tuan, meninggalkan Duyung di sini."
Duyung memandang wajah Budak Tua meminta kepastian.
"Bagaimana kalau Tuan biarkan sahaja kapal itu tenggelam di sini? Tuan boleh terus bermain di sini bersama ku." Duyung memandang wajah Budak Tua dengan harapan. Matanya bersinar-sinar merenung wajah Budak Tua.
"Tapi, bagaimana kelasiku Duyungku? Aku perlu selamatkan mereka. Mereka amanahku. Mereka tidak boleh menjadi korban cinta kita. Duyung ikut saya ke daratan?" Budak Tua menduga.
Duyung merenung mata Budak Tua. Budak Tua melarikan pandangan matanya ke tengah lautan. Matanya yang redup memandang lautan yang luas. Tak sanggup direnung begitu.
"Kenapa kau menatap lautan luas, berbanding wajahku, Tuan? Adakah ajakan itu sengaja kau kemukakan untuk membunuhku?" Duyung bersuara tegas mencari anak mata Budak Tua.

Budak Tua menutup wajahnya dengan kedua belah tapak tangannya dan meluruskan kakinya. Tidak sanggup dia menatap wajah Duyung. Wajah yang ingin ditatapnya sekian lama, tapi terlalu menarah hatinya.
"Tidak Duyungku, aku tak akan membunuhmu, apatah lagi untuk membinasakanmu." Budak Tua menangis tersedu-sedu. Duyung mengalihkan tubuhnya. Ekornya mengirai-ngirai air di gigi laut. Ekor yang bersinar kekuning-kuningan dengan sisik yang begitu tebal sehingga ke paras dada. Rambutnya yang tebal, ikal diusap-usap dengan lenangan air mata. Melihat Duyung syahdu, Budak Tua segera mendakap kemas Duyung.
"Duyung, jangan tinggalkan aku lagi. Aku sanggup terus di sini. Di atas kerikil karang ini hingga akhir hayatku." Budak Tua cuba berjanji. Duyung tersenyum melepaskan dakapan Budak tua.
"Sudahlah Tuan. Naik saja ke bahteramu. Jika kau di sini bagaimana amanahmu? kau nak biarkan mereka hidup di sini juga?" Duyung terus menduga.
"Usah berjanji pada perkara yang tak pasti. Kau akan lemas di sini. Jerung sentiasa menunggu di bawah tu. Kau sanggup nak hadapinya?" Duyung terus menyanyikan sajak ciptaannya, Rindu pasti akan berulang.

Budak Tua menarik nafas panjang. Dia berdiri bercekak pinggang memandang Duyung dan Bahteranya. Budak Tua mengeluh panjang. Kelasi-kelasinya adalah kegembiraan dan kehidupannya, tetapi Duyung adalah kebahagiaannya.
"Mereka boleh belayar sendiri, aku akan bersamamu, Duyungku." Tiba-tiba Budak Tua begitu nekad.

"Sudahlah Budak Tua. Cukuplah persinggahanmu yang sementara ini. Aku sudah merasai kebahagiaan ini. Cukuplah apa yan sudah dirasai. Aku tidak mahu lebih dari apa yang aku perolehi. Inilah takdir kita. Takdir yang telah Tuhan tentukan. Dunia kita berbeza. Pulanglah ke alammu. Aku tidak menyesal, Budak Tua." Perlahan-lahan Duyung memasuki gigi air. Dia semakin pasrah dengan keputusan yang dilakukan. Budak Tua sudah tidak mampu menahan Duyungnya.

Duyung memaling ke arah Budak Tua yang akan dirinduinya. Rindu yang pasti berulang lagi hingga akhir hayatnya. Cinta dua alam cukup menyakitkan. Cinta yang tidak menjanjikan sebarang matlamat. Duyung tahu, dia tidak mampu untuk memperolehi kaki yang cantik untuk mengikut Budak Tua. Berjalan di taman-taman bunganya. Mustahil dan tak mungkin. Pastinya dia akan terpinggir dan tersingkir nanti atau sekadar menjadi peliharaan dalam kolam hiasannya.

"Puteri, Jerung tahu kehadiran putera ini. Dia sedang kemari untuk membunuhnya," tiba-tiba Ikan emas datang terkocoh-kocoh. Oscar yang sejak tadi melihat sandiwara yang berlaku turut panik.
"Puteri, cepat lakukan sesuatu." Jerit Oscar sambil menggigit ekor Duyung. Duyung terpaku dan segera mengambil tongkat saktinya. Permintaannya hanya satu. Dia segera perlu membuat permintaan segera. Mana yang dipilihnya;
Mempunyai kaki yang cantik untuk hidup di daratan
Memberi ekor kepada Budak Tua agar boleh hidup di lautan
Menampal bocor bahtera agar boleh meneruskan perjalanan

Duyung memandang Budak Tua. Turut cemas. Duyung memerhatikan bahtera yang riuh dengan suara kelasi-kelasinya. Duyung memandang dirinya. Duyung memandang rakan-rakannya yang disayangi. Duyung memandang lautan tempat kehidupannya. Susah senang yang selalu dirasai.

Duyung berenang menghampiri buritan yang pecah. Duyung mengangkat tongkat saktinya dan memejamkan matanya sambil berdoa memohon rahmat Allah SWT. Seusai berdoa, ditiupnya Bahtera yang pecah. Perlahan-lahan lubang dan pecahan bahtera pulih seperti sedia kala. Budak Tua memandang Duyung. Duyung sakti rupanya. Budak Tua mendekati Duyung.
"Duyung, mari naik bahtera bersamaku." Budak Tua menghulurkan tangannya.

"Sudah terlambat, Tuan. Saktiku hanya untuk satu hajat sahaja. Dan hajat itu mesti dengan lagu kasih sayangku. Sekarang sakti itu sudah tiada lagi." Duyung meneruskan lagu-lagu syahdunya yang merentap jantung Budak Tua yang walang.

"Puteri, cepat! Jerung dah hampir tu. Cepat sembunyikan diri." Ikan emas terus memaksa. Duyung pucat memandang Budak Tua. Jerung pasti tidak akan membenarkan Budak Tua lebih lama di situ. pasti Budak Tua akan dibunuhnya.

"Ayuh, Tuan segera masuk ke bahtera. Teruskan pelayaranmu. Jerung akan membunuh Tuan." Duyung segera menolak Budak Tua yang kebingungan ke dalam bahtera.
"Tapi, Duyungku..." Budak Tua masih mengharap.

"Sudah, jangan mengharap kepada yang tak pasti. Selamatkan dirimu dan kelasi-kelasimu. Aku sudah biasa di sini. Kehidupanku di sini. Terima kasih atas persinggahanmu. Maafkan aku. Aku aka terus menyanyikan ayat-ayat cintamu. Ingat diriku dalam doamu." Duyung meredupkan matanya memandang tajam ke mata Budak Tua yang entah kapan akan direnung kembali mata itu.
Budak Tua membiarkan matanya direnung. Dipandang sepuasnya wajah Duyung yang berjaya mencuri hatinya. Tapi segalanya sudah terlambat. Jerung dari jauh sudah terlihat. Bahtera perlu segera berlalu. Dengan kaki yang maha berat, Budak Tua memasuki bahteranya untuk memulakan kembali pelayarannya, meninggalkan Duyungnya kembali.

Duyung melompat kembali ke perbatuan. Digoyang-goyangkan ekornya. Duyung tersenyum. Kaki yang cantik ditakdirkan bukan miliknya. Tetapi, bahtera itu sudah ada sentuhan sakti kasihnya. Cukuplah apa yang dilakukan sebagai kenangan.
Jerung berlegar-legar di persekitaran perbatuan sambil memandang bengis ke Duyung dan kemudian ke bahtera yang telah belayar. Dia menjadi geram dan berlalu semula.

"Puteri, kenapa puteri memberi sakti itu? Bukankah puteri inginkan kaki yang cantik untuk menari di daratan bersama puteramu?" Oscar memandang Duyung, simpati.
Duyung mengalihkan pandangannya ke lautan dan ke bantera yang sudah jauh belayar.
"Oscar dan teman-temanku. Duniaku di sini. Jika aku ada kaki, belum tentu aku akan bahagia seperti hari ini di daratan. Aku akan rindukan lautan ini untuk bersama kalian. Aku akan rindukan ekorku. Rindukan kehidupanku dengan kalian. Tetapi sakti itu sudah menemani kekasihku. Menemani kebahagiaannya. Menemani pelayarannya. Inilah pengorbanan cinta yang agung. Cukuplah itu. Aku bahagia pada Qada' dan Qadar Tuhan." Duyung membaringkan dirinya di perbatuan. Direnung langit yang tinggi. Dikalihkan ke lautan. Hanya kelihatan asap berkepul dari serombong asap bahtera. Duyung memejamkan mata. Jika dia tiada, dia mahu dimakamkan di perbatuan ini. Di celah-celah karang ini, agar nanti bila Budak Tua lalu, dia akan menziarahi dan mendoakan rohnya.


p/s: Demikian kisah seekor Duyung sebagai teladan bahawa hidup ini akan sentiasa ada cabaran dan dugaan. Pastinya barangsiapa yang sabar dan tabah dengan cubaan Allah SWT akan menjadi insan yang beruntung di akhirat kelak, iaitu kehidupan yang abadi. Ingat bahawa setiap manusia ada Qada' dan Qadar yang ditentukan. Kita sebagai manusia hanya perlu berusaha, berdoa dan bertawakal kepadanya. Cinta yang paling agung adalah cinta penyerahan kepada Pencipta yang Maha Agung, yang memahami setiap isi hati dan nurani manusia. Kisah ini sekadar renungan tiada kaitan dengan yang hidup atau yang mati, tapi hanya sekadar analogi kehidupan.

Thursday, March 26, 2009

PENDAPATAN YANG BERKAT


Harta merupakan keperluan asas dalam kehidupan semua manusia. Malah masyarakat menilai kejayaan seseorang melalui pemilikan material seperti rumah yang besar, kereta yang cantik, hidup bergaya dan hidup mewah. Malah Islam sendiri tidak menghalang kita mencari harta sebanyak mungkin.

Tetapi dalam Islam, Allah telah memberi garis panduan bagi mengukur kejayaan seseorang dari aspek material seperti dalam Surah an-Nisa' ayat 29 yang bermaksud,
"Hai orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta bersamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka. Dan janganlah kamu membunuh dirimu, sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepada-Mu".

Melalui surah tersebut, manusia diberi kebebasan untuk memilih punca pendapatan;
1. Makan gaji - jalankan tugas dan tidak mengharap lebihan daripada orang luar selain majikannya.
2. Perniagaan - pendapatan diperolehi melalui perkongsian untung antara peniaga dengan pembeli.

Tetapi yang penting, pencarian harta itu adalah dengan jalan yang halal dan mendapat keredhaan Allah SWT. Manakala harta yang tidak halal akan memusnahkan keluarga.

Harta sebenarnya merupakan ujian kerana;
1. Apa yang dimakan akan habis
2. Apa yang dipakai akan lusuh
3. Apa yang disedekahkan akan disimpan di akhirat
Pendapatan yang diperolehi oleh seseorang bukan hanya untuk kegunaan dirinya sahaja, bahkan ada bahagiannya untuk orang lain sama ada melalui aktiviti seharian atau melalui sedekah.

Allah merupakan pemilik harta yang mutlak manakala manusia merupakan pemegang amanah. Oleh itu, kita tidak boleh membelanjakan harta dengan sewenang-wenangnya - jangan terlalu boros dan tidak terlalu kikir.

Pencarian harta atau rezeki juga perlu dilakukan dengan jalan berikhtiar dan diikuti dengan tawakal.

Semoga Allah SWT memberkati pendapatan kita walaupun kecil tetapi dipermudahkan segala urusan, Insya'Allah.
"Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan papa dan meminta-minta kepada orang lain." (Riwayat Muslim)

Wednesday, March 18, 2009

BILA ORANG MULA BIADAP

Assalamualaikum warahmatullah
Pemimpin adalah insan yang terpilih untuk melaksanakan tanggungjawab kepada orang bawahannya. Mereka adalah sebagai daya penggerak yang membuat orang lain mengikut atau membuat sesuatu dengan sukarela - dengan lain perkataan lain kepimpinan adalah corak hubungan yang melaluinya seseorang itu mempunyai kemampuan untuk mempengaruhi perlakuan orang lain melalui pemikiran, perlakuan dan tindakan. Kepimpinan juga didefinisikan sebagai pengaruh, cara atau tanggapan proses mempengaruhi orang ramai supaya mereka boleh berusaha secara sukarela ke arah pencapaian matlamat.
Dalam dunia keusahawanan, ketua memainkan peranan dalam usaha menterjemahkan visi dan misi syarikat dalam kepimpinannya agar orang bawahan akan patuh dan rela melaksanakan visi dan misi tersebut dengan sesungguh hati sebagaimana orang Jepun yang begitu cinta dan taat kepada tugas yang diberikan seperti syarikat sendiri. Keusahawanan akan berusaha dengan bermatlamatkan mendapat keuntungan. Oleh itu, para pemimpinnya perlu berusaha menjaga kemaslahatan orang bawahannya bagi menjamin orang bawahan yang setia, taat dan patuh dengan arahan dan kerja yang diberikan. Jika orang bawahan patuh, maka syarikat tidak mempunyai masalah mencapai visi dan misinya.
Begitu juga dalam kehidupan berumahtangga, suami adalah ketua yang memandu bahteranya menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat. Dalam hal ini, ketua keluarga memainkan peranan memastikan keluarganya memperolehi arahan dan bimbingan yang sewajarnya agar lahir sifat taat, setia dan sanggup berusaha untuk kedamaian, kebahagian dan kejayaan pelayaran bahteranya, bukan kelasi yang putus asa dan tidak sanggup meneruskan perjalanan mengharungi badai lautan lantaran kapten kapal yang alpa dan lalai untuk menjaga kebajikan mereka kerana mempunyai komitmen lain.
Ciri dan sifat pemimpin yang boleh dicontohi ialah sifat yang diamalkan oleh Rasulullah SAW yang dapat dirumuskan sebagai;
  • beriman
  • bertaqwa
  • Solat
  • adil
  • amanah
  • memelihara kehormatan
  • berjihad ke jalan Allah
  • benar
  • sabar
  • taat pada Allah dan rasul
  • menyuruh berbuat kebaikan dan menegah kemungkaran
  • menjauhkan diri daripada perbuatan keji, jahat dan maksiat
  • tidak membuat kerosakan di bumi Allah
  • Tidak fasiq
  • beramal soleh dan bersifat terpuji

Al-Farabi pula menggariskan beberapa ciri pemimpin iaitu;

  • kesempurnaan tubuh badan
  • fikiran yang terbuka
  • dapat menggambarkan apa yang dikata
  • kesempurnaan ingatan
  • sanggup menghalusi persoalan dengan perbahasan yang sedikit
  • sanggup menyampaikan sesuatu dengan benar berdasarkan kecintaan pada ilmu
  • menghindarkan permainan percuma dan sia-sia
  • dapat mengawal nafsu makan dan pelanggaran nafsu yang lain
  • lapang hati dan cinta akan keadilan
  • benci akan paksaan
  • sanggup memberi keadilan tanpa paksaan
  • tidak mengenali takut dan melaksanakan pekerjaan mengikut keyakinan
  • mempunyai cukup kekayaan (untuk diri dan keluarganya)

Imam al-Ghazali pula menegaskan bahawa setiap orang yang ingin menjadi pemimpin mestilah;

  • mempunyai daya intelek yang tajam
  • berpengetahuan dan berfungsi
  • berani
  • sayang pada ahli
  • diplomasi
  • mempunyai pandangan yang jauh
  • tegas dan benar-benar berazam
  • berpengetahuan tentang keadilan, tempat, ahli, pemimpin dan ketua.

Apabila seseorang pemimpin kehilangan sifat mahabbah dan rahmah kepada orang bawahannya, maka akan terlerailah kesetiaan dan lahirlah juga pekerja yang ingkar dan biadap kepada pemimpinnya kerana desakan perasaan yang marah, tidak puas hati dan kecewa...

Friday, March 13, 2009

CARA MUDAH FIKIR BELANJA PERGI HAJI

Assalamualaikum
Baru-baru ni, kami sekeluarga berbincang untuk menyusun rancangan menunaikan haji dalam masa 5 tahun lagi (anak kecil akan berusia 14 tahun). Usia saya pula 46 tahun. Saya rasa 5 tahun adalah impian paling realistik untuk merancang pemergian ini. kami merancang untuk pergi dengan kakak ipar sekeluarga. Tetapi duit tak cukup lagi? mana nak cari duit tu?
Sayapun buka pamplet pelaburan dan mencadangkan bentuk simpanan yang paling efektif tetapi diredai - Skim pelaburan Islam.
Simpanan permulaan RM1000
Bulanan RM500 x 12 bulan = RM 6,000
Simpanan RM 6,000 x 5 tahun = RM 30,000 + RM 1000 (simpanan pokok)
Keuntungan pelaburan 13%% = RM35302.94
Keuntungan pelaburan 15% = RM 35695.20
Keuntungan pelaburan 10% = RM 34126.18
keuntungan pelaburan 7% (paling rendah) = RM 33341.67
Hmm dah cukup untuk pergi dua orang suami isteri. Lengkap dengan duit poket lagi.
Belum lagi dapat dividen tahunan.
Ikut perkiraan, RM50,000 boleh dikumpul jika dilaburkan secara komitment yang tinggi.
Selamat melabur! berminat, hubungi saya 012-2048304

Thursday, March 12, 2009

BILA MERAJUK HATI

Jangan merajuk

Jangan merajuk, wahai hati yang walang

Kisah semalam

Kisah semalam, menjeruk hati

hati yang walang bertambah bimbang


Aduhai, insan

mengapa mengharap padi seberang

nasi di pinggan minta dimakan


Aduhai, aduhai...


Itulah nyanyian semalam, insan yang sering merasakan apabila kehilangan kasih maka dunianya juga sudah tamat.


wahai-wahai insan yang ketandusan kasih sayang
kembalilah pada Tuhan.
kan kau temui kasih sayang abadi tanpa kekecewaan.

Tuesday, March 10, 2009

MENJADI KAYA TIDAK SEMESTINYA BAHAGIA


"Orang rumah hujung itu kena curi keretanya. haritu emas satu mangkuk dah kena rompak. Wang sudah kena curi. Rumah sudah kena pecah...." Bibikku datang ke rumah pagi ini dengan omelan tanpa hujung pangkal. Saya kira termasuk cerita kali ni sudah empat kali rumah banglo yang diceritakan oleh bibik itu dimasuki pencuri...


Saya cuba mencari-cari fakta dalam isu ini. Setahu saya ada dalam sekitar enam buah banglo sederet di kawasan perumahan rumah teres sederhana rendah yang saya duduki, banglo itu diduduki oleh orang Melayu Islam (?) yang lainnya India dan Cina. Kenapa rumah itu yang jadi sasaran?

1. Rumah itu berada di tepi jalan (Corner lot) dan amat mudah untuk perompak memerhati dan menjadi tumpuan.

2. Pagar banglo itu kelihatan hebat - pastinya menarik minat penganggur yang lalu lalang di situ.

3. Pencuri pernah masuk dan tahu apa yang ada di banglo itu - memang ada barangan berharga.


Keesokan harinya, bibik bising lagi mengatakan penghuni banglo itu sekarang terpaksa tidur di kereta sebab tak mahu kereta dicuri lagi di samping nak tahu siapa yang masuk rumah mereka. Ibarat pepatah Melayu, dah terhanduk baru nak terngadah. Tetapi sampai bila nak tidur dalam kereta sedangkan tilam empuk dan kedinginan aircond menanti dalam banglo itu?


Aduhai, susahnya nak senang bila hati dilanda resah, takut pada harta dunia yang bersifat sementara. Saya ingat kata-kata Hajah Rohani dalam bukunya, Cukup Wang Hati Tenang yang mengatakan, "Jika kita kejar dunia , kita selamanya menjadi hambanya... tetapi jika kita kejar akhirat, dunia akan berada di telapak kaki kita" Begitulah nilai kewangan dalam kehidupan dunia. Jika kita mengamalkan nlai-nilai ukhrawi atau spiritual bukan sahaja akan membebaskan kita dari belenggu keduniaan malah akan memberi kita keupayaan mengawal dan menguruskan sumber-sumber keduniaan.


Jika kita mengamalkan keduniaan dan akhirat secara seimbang dan bersepadu, pasti kedua-duanya kita akan dapat. Dunia dapat, akhiratpun dapat - pastinya kita akan termasuk di kalangan orang yang beruntung.

Sunday, March 8, 2009

BILA BUDAK TUA MERAJUK

Kisah fitnah dunia yang saya hadapi sudah berlalu dan seperti yang ketua saya katakan, "bertahanlah, teruskan perjuangan, bila kebenaran akan terbongkar, segala fitnah akan musnah". Tetapi dengan rajuk yang panjang kunyatakan padanya, "Bagaimana mahu bertahan, jika dahan tempat berpaut juga sudah rapuh, bagaimana mahu berjuang jika tiada penyokong dan bagaimana kebenaran akan muncul, jika hukuman sudah jatuh!" Kata-kata ini lahir dari hati yang sedang parah sebagaimana pastinya keparahan hati semua pejuang yang mahu melihat bahasa ibunda terus bertakhta di hati generasi akan datang telah dihalang oleh prasangka.


Seorang sahabat juga menyampai pesan, "kenapalah hati begitu mudah rapuh- dalam perjuangan tidak pernah ada istilah mengalah". Juga sahabat yang lain menyampuk, "Kamilah penyokong perjuangan Tuan. marilah kita sama-sama bangunkan keluarga kita yang kita sayangi. Kami di sini adalah sebagaimana perjuangan yang sedang Tuan lakukan." Dan seorang profesor menegur, "Kenapa terlalu mudah patah hati."


Ya, saya kembali bangun dari alam rajuk yang menyakitkan. Saya ubati luka sendiri dengan sokongan orang yang tersayang. Dan kugagahi mencari kebenaran- bila kebenaran datang, segala resah yang bernaung terus hapus bak ombak membelai pantai. Hati seorang budak tua yang merajuk kembali ceria dan riang.


Jiwa pejuang mengalir dalam diri- seorang usahawan mesti kuat menghadapi segala kepayahan apalagi mahu mendidik anak-anak bangsa sendiri.


Teringat puisi JANGAN MENANGIS BUDAK TUA- Oleh A Ghafar Ibrahim

GAZA DI MALAYSIA

GAZA DI MALAYSIA
Oleh: Nor Raudah Siren

Percikan api di Gaza tidak seperti
Percikan bunga api di sorak merdeka Kuala Lumpur
Percikan api di Gaza
Bersama percikan darah dan air mata

Tangisan anak-anak Gaza tidak seperti
Tangisan anak-anak Malaysia yang merajuk
Minta dibelikan KFC dan Mc Donald
Tetapi tangisan anak-anak Gaza
Merintih minta ibu dan ayah
yang hilang bersama asap dan runtuhan

Jeritan di Gaza tidak seperti
Jeritan rakyat Malaysia di Masjid Negara
Menyokong keranda PPSMI
Tetapi jeritan di Gaza
Meraung anak-anak yang terkulai
Oleh Israel berjiwa syaitan

Gaza dan Malaysia
Tetapkan hati pada tuhan
Serahkan jiwamu dengan kerendahan
Mimpi ngerimu takkan berulang
Kerana kami bersamamu berjuang
Cerita usahawan kini terpaksa saya tukar kepada isu bangsa yang saya kira masih ada ikatan dengan konsep usahawan daie - usahawan yang peka dengan isu kemanusiaan dan kemasyarakatan. Jika negara berada dalam situasi gawat pastinya kegawatan ekonomi juga akan berlaku.

Semalam, 7 Mac 2009, seorang sahabat berjiwa perwira menyertai pengkebumian keranda PPSMI yang diadakan di Masjid Negara untuk menyerahkan memorandum bantahan ke Istana Negara. Saya dari jauh bagai direntap resah dan doa mudah-mudahan demontrasi dilakukan secara aman dan penuh ketelusan. Semoga bahasa Melayu terus dijulang sebagai bahasa ibunda yang tercinta- semangat rakyat yang cintakan bangsa, agama dan negara.
Jika Sasterawan Negara seperti A Samad Said, Baha Zain dan lain-lain lagi sanggup bertaruh masa, keselamatan dan merendah diri untuk bersama-sama berarak dengan rakyat memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk pengajaran dalam mata pelajaran matematik dan Sains, pastinya perjuangan ini bukan main-main dan memerlukan perhatian yang sewajarnya dari pemimpin tertinggi negara yang bertanggungjawab menangani persoalan isu ini- bukan sekadar menyembur air dan gas untuk menyuraikan perarakan tersebut- kerana perarakan demi perarakan, demonstrasi demi demonstrasi akan terus berlaku selagi hasrat tidak bersahut. Jiwa Melayu adalah jiwa amarah jika maruah bangsa tersentuh. Tetapi berjiwa akur, jika pemimpin memelihara kestabilan ummah.

Forum sudah, bicara sudah, demonstrasi sudah, memorandumpun sudah - wahai pemimpin harapan rakyat - selamilah ke laut dalam hati kami- hapuskan prasangka ini - tidak banyak yang diminta- kembalikan saja bahasa kita sebagai bahasa terhormat negara.

Tuesday, March 3, 2009

PADAMU JUA- AMIR HAMZAH


Habis kikis
Segala cintaku hilang terbang
Pulang kembali aku padamu
Seperti dahulu
Kaulah kandil kemerlap
Pelita jendela di malam gelap
Melambai pulang perlahan
Sabar, setia selalu
Satu kekasihku
Aku manusia
Rindu rasa
Rindu rupa

di mana engkau
rupa tiada suara sayup
hanya kata merangkai hati
engkau cemburu
engkau ganas
mangsa aku dalam cakarmu
bertukar tangkap dengan lepas

nanar aku, gila sasar sayang berulang padamu jua
engkau pelik menarik ingin
serupa dara di balik tirai
kasihmu sunyi
menunggu seorang diri
lalu waktu - bukan giliranku mata hari - bukan kawanku....

FITNAH DUNIA


2 Mac 2009, Isnin. Hari ini saya berasa hiba apabila memperolehi dugaan dalam bentuk fitnah. Saya tidak akan cerita bentuk fitnahnya.


Fitnah disamakan oleh Allah SWT seumpama orang yang membunuh - membunuh saudaranya kerana akan jatuh tersungkur segala maruah dan nama diri hanya kerana fitnah. Malah segala semangat juang dan keupayaan prestasi diri akan melayang dan habis kikis hanya kerana fitnah. Lantaran itu, Allah amat melarang berlaku fitnah melainkan kebenaran dicari bagi memperolehi kebenaran dan ketelusan hati - tidak lahir dari sifat dendam dan iri hati - Subhanallah.


Terdapat dua perkara yang boleh menyebabkan fitnah;

1. Fitnah kerana perempuan

2. Fitnah kerana DUIT


Menyebut fitnah kerana DUIT, rupa-rupanya manusia ini amat sensitif dengan perkataan DUIT. Kerana duit manusia sanggup mencari dengan cara yang gharar. kerana duit manusia sanggup berjudi, merompak, mencuri, rasuah dan yang paling buruk sanggup MENFITNAH = MEMBUNUH.


Lantaran itu, wahai sahabatku, kita perlu berhati-hati dalam soal DUIT yang kesannya amat menyakitkan dan menyentuh kredibiliti yang tidak tertanggung. Sebagai usahawan daie, penggunaan DUIT perlu dilakukan dengan AMAT BERHATI-HATI terutama bila DUIT itu melibatkan orang lain dalam kumpulan atau dalam angkatan kita. Kerananya juga pagar yang diharap juga boleh menjadi musuh dalam selimut. kerananya juga kawan akan menjadi lawan. kerananya juga perniagaan akan jatuh bankrap.
Apa yang ingin dikongsikan adalah, sebagai manusia kita perlu mencari kebenaran sebelum melakukan kebatilan. Kebenaran dicari untuk menjernihkan keadaan serta memurnikan hubungan. Jika ada sebarang kemuslihatan, bawa kepada perbincangan sama ada tertutup atau terbuka agar yang salah membetulkan keadaan dan jika tidak salah ada peluang membela diri...
dr.raudah - menangis seharian kerana fitnah dunia

Friday, February 27, 2009

PEMURAHNYA MENAMBAH REZEKI


Hari ini Jumaat, 27 Februari. Lusa sepatutnya hari lahir saya tetapi tidak ada dalam kalendar tahun ini. Tetapi apa yang ingin diceritakan di sini ialah tentang pemurahnya seorang yang amat saya kagumi.

Hari ini saya disuruh oleh seorang profesor untuk menguruskan tempat makan tengahari untuk ahli-ahli Jabatan sebagai niat pemurahnya kepada ahli-ahli Jabatan.

Usai mesyuarat jam 11.30 am, kami terus ke Ali Cafe dengan dua buah kereta. Sebelum itu, sudah dipesan lauk-lauk yang diinginkan.

Memilih tempat yang agak jauh, 8 orang ahli Jabatan berhimpun, bercerita dan bertukar idea sambil menunggu hidangan. Suasana mesra dan meriah mengerat hubungan antara ahli Jabatan dan pastinya akan menanam rasa "teamwork" yang amat akrab dan rasa hormat.

Mengambil berkat hari Jumaat, pastinya situasi ini amat bermakna...



Allah berfirman dalam Surah an-Nisa' ayat 36 yang bermaksud, "Pujalah Allah, janganlah kamu persekutukan Dia dengan sesuatu apapun, berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, tetangga terdekat, tetangga jauh, orang dalam perjalanan dan kepunyaan tangan kananmu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri."


Sifat suka bersedekah merupakan tanda seseorang yang sentiasa merendahkan hatinya bahawa rezeki itu bukan hanya kepunyaannya tetapi adalah untuk dinikmati bersama dengan orang yang berhampiran atau orang yang memerlukannya. Lantaran itu Allah menciptakan manusia dengan pelbagai peringkat dan tingkat sebagai tanda keseimbangan- yang kaya membantu yang miskin dan yang miskin membantu orang kaya menambahkan kekayaannya.


Tetapi dalam situasi ekonomi yang semakin merundum ini, pasti ramai yang cuba berhemah dalam berbelanja. Pastinya ia adalah sifat yang mulia dalam menghadapi situasi kemelesetan. Tetapi amalan suka bersedekah tetap terus diamalkan kerana ia adalah sebagai jalan menyucikan harta dan memberi ruang untuk kita mendapatkan harta yang lebih baik dan halal.


Bukan pula bermakna harta yang kita perolehi selama ini tidak halal. Tetapi jika disemak secara detail pasti kedapatan kesilapan yang sesekali kita lakukan menyebabkan pendapatan yang kita perolehi perlu disucikan- curi masa kerja, kerja tidak siap pada masa yang ditetapkan, dan sebagainya yang Profesor saya beritahu tidak amanah dalam menjalankan tugas yang diberikan.


Bukan kesilapan itu kita sengajakan, malah tidak terniat untuk kita lakukan. Tetapi ia berlaku secara semulajadi kerana sifat lalai dan leka kita maka ia berlaku...

MEMILIKI ANAK OKU SATU ANUGERAH DAN AMANAH

 Lama tidak mengisi ruang ini. Terlalu lama... kesibukan serta keberadaan media sosial yang lain menjadikan blog ini turut sepi. Namun hari ...