Lama tidak mengisi ruang ini. Terlalu lama... kesibukan serta keberadaan media sosial yang lain menjadikan blog ini turut sepi. Namun hari ini, nota ini merupakan cicipan kisah yang mahu dikongsi bersama.
Memiliki anak OKU bernama Muhammad Arsyad As Syafie merupakan ujian paling mencabar hidupku selama ini. Pada awalnya agak sukar untuk menerima situasi ini seakan cuba menolak ketentuan itu dengan pelbagai usaha. Namun setelah dua tahun melalui pelbagai perasaan, akhirnya mengalah dan menerima takdir-Nya dengan hati terbuka. Barulah bermula episod penjagaanku secara betul untuk kanak-kanak OKU Syndrom Down.
Berulang alik ke PPUM memang sudah jadi rutin sejak lahir lagi untuk mendapatkan rawatan terbaik untuknya. Tubuhnya kuat, alhamdulillah. Dia boleh berjalan dan berlari walaupun agak berbeza dengan kanak-kanak normal. Tapi aku bersyukur, fizikalnya sihat. Cuma pernafasannya agak membimbangkan kerana setiap kali selesema, dia akan sesak nafas. Pada awal sakitnya dalam usia setahun. Dia merenjat-renjatkan tubuhnya mencari udara. Ya Allah, hanya kepada-Nya aku berserah. Dadanya tenggelam dan dalam awal fajar (jam 3 pagi) aku dan suami bergegas ke hospital PPUM dan dia menerima rawatan kecemasan hanya dengan menerima NIP sahaja sebanyak 3 kali. Alhamdulillah menjelang subuh, dia mula lena dalam dakapanku. aku mula menarik nafas lega. Sejak itu, aku amat berhati-hati dengan pernafasannya dan alhamdulillah apabila semakin besar, pernafasannya mula stabil dan dia jarang diserang sesak nafas lagi.
Kini, Muhammad Arsyad As Syafie sudah melangkah ke dunia persekolahan. Sekolah biasa dalam kelas khas. walaupun belum pandai membaca tetapi sudah mengenali huruf dan nombor. Itupun sudah pencapaian yang baik walaupun sudah berusia 7 tahun dan dalam usia 8 tahun. Pendedahan di alam persekolahan terutama persekitaran normal dan pergaulan rakan-rakan pelbagai OKU menjadikannya mahir bersosial. Sifatnya yang peramah suka menegur sesiapa sahaja yang ditemui terutama warga emas mencuit rasa mereka.
Sekarang dalam proses pendidikan ke toilet. Bukan mudah untuk mengajarnya ke tandas. Berkali-kali terbarai di lantai. Dan kesabaran seorang ibu dan abahnya tidak pernah putus asa.
Sahabat yang memiliki anak-anak OKU, terimalah mereka dengan hati terbuka. Beri mereka pendidikan, itulah hak mereka dan tanggungjawab kita. Mereka juga perlu hidup berdikari kerana usia kita tidak lama.