Sunday, March 8, 2009

GAZA DI MALAYSIA

GAZA DI MALAYSIA
Oleh: Nor Raudah Siren

Percikan api di Gaza tidak seperti
Percikan bunga api di sorak merdeka Kuala Lumpur
Percikan api di Gaza
Bersama percikan darah dan air mata

Tangisan anak-anak Gaza tidak seperti
Tangisan anak-anak Malaysia yang merajuk
Minta dibelikan KFC dan Mc Donald
Tetapi tangisan anak-anak Gaza
Merintih minta ibu dan ayah
yang hilang bersama asap dan runtuhan

Jeritan di Gaza tidak seperti
Jeritan rakyat Malaysia di Masjid Negara
Menyokong keranda PPSMI
Tetapi jeritan di Gaza
Meraung anak-anak yang terkulai
Oleh Israel berjiwa syaitan

Gaza dan Malaysia
Tetapkan hati pada tuhan
Serahkan jiwamu dengan kerendahan
Mimpi ngerimu takkan berulang
Kerana kami bersamamu berjuang
Cerita usahawan kini terpaksa saya tukar kepada isu bangsa yang saya kira masih ada ikatan dengan konsep usahawan daie - usahawan yang peka dengan isu kemanusiaan dan kemasyarakatan. Jika negara berada dalam situasi gawat pastinya kegawatan ekonomi juga akan berlaku.

Semalam, 7 Mac 2009, seorang sahabat berjiwa perwira menyertai pengkebumian keranda PPSMI yang diadakan di Masjid Negara untuk menyerahkan memorandum bantahan ke Istana Negara. Saya dari jauh bagai direntap resah dan doa mudah-mudahan demontrasi dilakukan secara aman dan penuh ketelusan. Semoga bahasa Melayu terus dijulang sebagai bahasa ibunda yang tercinta- semangat rakyat yang cintakan bangsa, agama dan negara.
Jika Sasterawan Negara seperti A Samad Said, Baha Zain dan lain-lain lagi sanggup bertaruh masa, keselamatan dan merendah diri untuk bersama-sama berarak dengan rakyat memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk pengajaran dalam mata pelajaran matematik dan Sains, pastinya perjuangan ini bukan main-main dan memerlukan perhatian yang sewajarnya dari pemimpin tertinggi negara yang bertanggungjawab menangani persoalan isu ini- bukan sekadar menyembur air dan gas untuk menyuraikan perarakan tersebut- kerana perarakan demi perarakan, demonstrasi demi demonstrasi akan terus berlaku selagi hasrat tidak bersahut. Jiwa Melayu adalah jiwa amarah jika maruah bangsa tersentuh. Tetapi berjiwa akur, jika pemimpin memelihara kestabilan ummah.

Forum sudah, bicara sudah, demonstrasi sudah, memorandumpun sudah - wahai pemimpin harapan rakyat - selamilah ke laut dalam hati kami- hapuskan prasangka ini - tidak banyak yang diminta- kembalikan saja bahasa kita sebagai bahasa terhormat negara.

Tuesday, March 3, 2009

PADAMU JUA- AMIR HAMZAH


Habis kikis
Segala cintaku hilang terbang
Pulang kembali aku padamu
Seperti dahulu
Kaulah kandil kemerlap
Pelita jendela di malam gelap
Melambai pulang perlahan
Sabar, setia selalu
Satu kekasihku
Aku manusia
Rindu rasa
Rindu rupa

di mana engkau
rupa tiada suara sayup
hanya kata merangkai hati
engkau cemburu
engkau ganas
mangsa aku dalam cakarmu
bertukar tangkap dengan lepas

nanar aku, gila sasar sayang berulang padamu jua
engkau pelik menarik ingin
serupa dara di balik tirai
kasihmu sunyi
menunggu seorang diri
lalu waktu - bukan giliranku mata hari - bukan kawanku....

FITNAH DUNIA


2 Mac 2009, Isnin. Hari ini saya berasa hiba apabila memperolehi dugaan dalam bentuk fitnah. Saya tidak akan cerita bentuk fitnahnya.


Fitnah disamakan oleh Allah SWT seumpama orang yang membunuh - membunuh saudaranya kerana akan jatuh tersungkur segala maruah dan nama diri hanya kerana fitnah. Malah segala semangat juang dan keupayaan prestasi diri akan melayang dan habis kikis hanya kerana fitnah. Lantaran itu, Allah amat melarang berlaku fitnah melainkan kebenaran dicari bagi memperolehi kebenaran dan ketelusan hati - tidak lahir dari sifat dendam dan iri hati - Subhanallah.


Terdapat dua perkara yang boleh menyebabkan fitnah;

1. Fitnah kerana perempuan

2. Fitnah kerana DUIT


Menyebut fitnah kerana DUIT, rupa-rupanya manusia ini amat sensitif dengan perkataan DUIT. Kerana duit manusia sanggup mencari dengan cara yang gharar. kerana duit manusia sanggup berjudi, merompak, mencuri, rasuah dan yang paling buruk sanggup MENFITNAH = MEMBUNUH.


Lantaran itu, wahai sahabatku, kita perlu berhati-hati dalam soal DUIT yang kesannya amat menyakitkan dan menyentuh kredibiliti yang tidak tertanggung. Sebagai usahawan daie, penggunaan DUIT perlu dilakukan dengan AMAT BERHATI-HATI terutama bila DUIT itu melibatkan orang lain dalam kumpulan atau dalam angkatan kita. Kerananya juga pagar yang diharap juga boleh menjadi musuh dalam selimut. kerananya juga kawan akan menjadi lawan. kerananya juga perniagaan akan jatuh bankrap.
Apa yang ingin dikongsikan adalah, sebagai manusia kita perlu mencari kebenaran sebelum melakukan kebatilan. Kebenaran dicari untuk menjernihkan keadaan serta memurnikan hubungan. Jika ada sebarang kemuslihatan, bawa kepada perbincangan sama ada tertutup atau terbuka agar yang salah membetulkan keadaan dan jika tidak salah ada peluang membela diri...
dr.raudah - menangis seharian kerana fitnah dunia

Friday, February 27, 2009

PEMURAHNYA MENAMBAH REZEKI


Hari ini Jumaat, 27 Februari. Lusa sepatutnya hari lahir saya tetapi tidak ada dalam kalendar tahun ini. Tetapi apa yang ingin diceritakan di sini ialah tentang pemurahnya seorang yang amat saya kagumi.

Hari ini saya disuruh oleh seorang profesor untuk menguruskan tempat makan tengahari untuk ahli-ahli Jabatan sebagai niat pemurahnya kepada ahli-ahli Jabatan.

Usai mesyuarat jam 11.30 am, kami terus ke Ali Cafe dengan dua buah kereta. Sebelum itu, sudah dipesan lauk-lauk yang diinginkan.

Memilih tempat yang agak jauh, 8 orang ahli Jabatan berhimpun, bercerita dan bertukar idea sambil menunggu hidangan. Suasana mesra dan meriah mengerat hubungan antara ahli Jabatan dan pastinya akan menanam rasa "teamwork" yang amat akrab dan rasa hormat.

Mengambil berkat hari Jumaat, pastinya situasi ini amat bermakna...



Allah berfirman dalam Surah an-Nisa' ayat 36 yang bermaksud, "Pujalah Allah, janganlah kamu persekutukan Dia dengan sesuatu apapun, berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, tetangga terdekat, tetangga jauh, orang dalam perjalanan dan kepunyaan tangan kananmu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri."


Sifat suka bersedekah merupakan tanda seseorang yang sentiasa merendahkan hatinya bahawa rezeki itu bukan hanya kepunyaannya tetapi adalah untuk dinikmati bersama dengan orang yang berhampiran atau orang yang memerlukannya. Lantaran itu Allah menciptakan manusia dengan pelbagai peringkat dan tingkat sebagai tanda keseimbangan- yang kaya membantu yang miskin dan yang miskin membantu orang kaya menambahkan kekayaannya.


Tetapi dalam situasi ekonomi yang semakin merundum ini, pasti ramai yang cuba berhemah dalam berbelanja. Pastinya ia adalah sifat yang mulia dalam menghadapi situasi kemelesetan. Tetapi amalan suka bersedekah tetap terus diamalkan kerana ia adalah sebagai jalan menyucikan harta dan memberi ruang untuk kita mendapatkan harta yang lebih baik dan halal.


Bukan pula bermakna harta yang kita perolehi selama ini tidak halal. Tetapi jika disemak secara detail pasti kedapatan kesilapan yang sesekali kita lakukan menyebabkan pendapatan yang kita perolehi perlu disucikan- curi masa kerja, kerja tidak siap pada masa yang ditetapkan, dan sebagainya yang Profesor saya beritahu tidak amanah dalam menjalankan tugas yang diberikan.


Bukan kesilapan itu kita sengajakan, malah tidak terniat untuk kita lakukan. Tetapi ia berlaku secara semulajadi kerana sifat lalai dan leka kita maka ia berlaku...

Thursday, December 18, 2008

LAGI KENA SERBU BANK NEGARA MALAYSIA!


Semangat dakwah membara dalam diri apabila sebuah syarikat ingin menaja perjalanan kami untuk berdakwah selama seminggu di Sabah. Perbincangan diadakan di syarikat tersebut yang kelihatan lebih banyak memperkenalkan aktiviti syarikat - bagus juga dapat berkenalan dengan syarikat orang Islam yang cuba mengelakkan diri dari aktiviti riba' dalam perniagaan.

Petang Jumaat itu, agak lewat saya ke syarikat tersebut untuk menerima sumbangan kewangan dari pihak mereka kerana surat rasmi dari Ketua Jabatan belum diperolehi. Sebaik sahaja memperolehi surat tersebut dalam jam 4.30 pm saya terus bergegas memandu bersama suami ke Jalan Raja Chulan.

Memang mengharukan, mereka sanggup menunggu hingga jam 6.00 pm kerana traffic jammed yang teruk di Kuala Lumpur.

Setelah selesai berbincang dan memberi surat permohonan rasmi dari KJ, pegawai kewangan mereka membawa satu sampul surat dan melonggokkan sejumlah RM50,000 ke atas meja. Saya amat terkejut dan terpana sebab inilah kali pertama melihat orang menaja dengan wang tunai sebanyak itu, paling tidakpun selalunya walau RM100, tetap menulis cek. Saya gelisah dan terus memasukkan dalam akaun malam itu juga.

Keesokan harinya saya dikejutkan dengan berita bahawa pengarah syarikat tersebut telah dihadapkan di mahkamah kerana menerima deposit tanpa lesen - difahamkan mereka membuat skim pembelian besi brillet dan menjualbalik dengan keuntungan 20% kepada pendeposit. Pelanggan mereka adalah syarikat enterprise- dengan pembelian RM30k, setiap bulan akan menerima keuntungan RM9k sehingga setahun. Woi! lumayan tu. Syarikat enterprise yang menjalankan business dengan modal RM30k tak dapat pendapatan sebanyak itu.

Tetapi, seperti isu sebelum ini, sebenarnya banyak skim-skim seumpama itu yang tujuannya untuk meraih sebanyak mungkin modal bagi tujuan meningkatkan aktiviti perniagaan mereka, dengan nama Islam dan dengan nama bangsa Melayu. Tetapi strategi yang diatur kurang murni dan terdedah dengan penganiayaan dan penindasan- banyak unsur gharar yang boleh dipertikaikan sehingga jika dibuka kembali kitab perbankan Islam, aktiviti tersebut sudah tergelincir dari landasannya.

Kadang-kala terfikir juga teknik perniagaan masyarakat Cina yang begitu kuat dari segi komuniti dan persatuan. Mereka saling bantu-membantu dalam aktiviti perniagaan. Malah selagi boleh mereka hanya akan menyokong bangsa mereka dalam perniagaan. Buktinya, cuma saudara ke Maidin - cuba kesan ada tak orang Cina memasukinya? berbanding ke TESCO atau Giant. Adakah masyarakat Islam mempunyai rasa seumpama itu? Buktinya, cuba semak berapa ramai yang mengenali Az-Zain yang menjual produk halal? Berapa ramai yang membeli produk Ayamas? berbanding AyamA1 atau ayam di pasaraya besar?

Oleh itu, kepada syarikat yang inginkan modal bagi meningkatkan perniagaan - binalah strategi pemasaran dan perniagaan yang lebih effective dan yang penting selaras dengan kehendak Islam. Kaji dan bincang dengan orang yang faham perkara yang berkaitan dengan hak orang lain.

Kepada umat Islam yang prihatin, ambil perhatian bahawa Allah SWT tak akan memberi rezeki tanpa usaha yang setimpal melainkan dengan mukjizat-NYa kepada orang yang TERPILIH. Berusaha, bekerjalah seolah-olah kita akan hidup selamanya. Tetapi jangan lupa harta yang kita cari hanya pinjaman dan sebagai dugaan hidup dari Allah SWT.

Tuesday, October 14, 2008

Hidup untuk bekalan di akhirat

Selamat Menyambut Aidil Fitri al-Mubarak....
Semoga umat Islam masih mampu meneruskan perjuangan menambahkan amal di bulan syawal melalui ibadah puasa sunat 6 dengan ganjaran seolah-olah berpuasa sepanjang tahun. Betapa Islam itu amat pemurah dan mudah untuk mencapai reda dan rahmat Allah SWT. Cuma kadang-kala manusia ini begitu kedekut dan sombong dengan Allah SWT lantaran leka dan tidak mahu mengambil kesempatan yang ada.

Allah berfirman dalam Surah An-Nahl, ayat 97 yang bermaksud, "Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan."

Begitu juga dalam urusan muamalah (perniagaan) merupakan aktiviti yang perlu diteruskan sebagai memenuhi keperluan asas kehidupan dan segala usaha memperolehi keperluan hidup dikira sebagai ibadat - keperluan makanan, pakaian, perlindungan dan kesihatan.

Walau bagaimanapun, dalam melaksanakan keperluan seharian, umat Islam dilarang berlebihan dalam penggunaan (perbelanjaan), sehingga Rasulullah SAW menghalang sahabat yang bercadang untuk membelanjakan seluruh hartanya di jalan Allah. Sebaliknya Rasulullah SAW menasihatkan sahabatnya supaya menyimpan harta tersebut demi keperluan masa depannya, sebagaimana sabda baginda SAW yang bermaksud, "Simpanlah sebahagian daripada harta kamu untuk kamu kerana itulah lebih baik bagi kamu."

Namun begitu, ini tidak bermakna bahawa menyorok atau menimbun kekayaan dibenarkan kerana perbuatan tersebut jelas terlarang, lebih-lebih lagi untuk tujuan keuntungan.

Semoga apa yang kita lalui dan uruskan kehidupan di dunia ini, akan sentiasa berada di atas landasan yang diredhai oleh Allah SWT kerana kehidupan kita di dunia ini adalah persiapan untuk hidup di alam lebih abadi, akhirat.

Thursday, September 25, 2008

REZEKI DI BULAN RAMADHAN


Assalamualaikum wrwt
Selamat menyambut bulan Ramadhan, bulan keberkatan yang di dalamnya terkandung malam seribu rahmah bagi sesiapa yang mahu mendapatkannya.

Pekerja-pekerja tentu berasa gembira bila dikhabarkan tentang bonus tahun ini yang telah dibayar pada hari Selasa 23 September baru-baru ini. Tetapi bagaimana kita memanfaatkan wang bonus tersebut hendaklah dilihat dari aspek perancangan kewangan yang berhemah. Oleh itu, terdapat beberapa perkara yang anda fikirkan sebelum anda menghabiskannnya untuk berbelanja sempena menyambut Aidil Fitri nanti,
1. Sudahkah anda melindungi diri anda dengan takaful sebagai 'protection' diri
2. Sudahkan anda menyimpan untuk keperluan kecemasan keluarga dan diri anda?
3. Sudahkan anda mempersiapkan diri untuk hari persaraan?
4. Adakah anda sudah bebas dari beban kredit kad dan hutang?
5. Adakah anda dah renew insuran kenderaan dan renew roadtaxnya?
6. Sudahkah anda membayar bil-bil yang perlu didahulukan?
7.Sudahkan anda membayar ansuran rumah atau kenderaan?

setelah semuanya diselesaikan, bolehlah anda bercuti dengan aman dan damai sempena bulan syawal yang bakal menjelang.

Adakah anda ingat pesanan Nabi Yusuf a.s yang bermaksud "Dia mengatakan: Kamu tetap bertanam tujuh tahun lamanya sebagai biasa. Dan hasil yang sudah kamu tuai, biarkan saja ditangkainya, kecuali sekadarnya yang akan kamu makan. Kemudian datang sesudah itu tujuh tahun yang sulit, menghabiskan apa yang telah kamu siapkan untuk tahun-tahun itu. Hanya sedikit saja yang tinggal dari apa yang kamu simpan."
Ayat 47-48 tersebut dengan jelas menyuruh kita beringat sebelum kedatangan hari sulit kerana sebagai manusia kita bersifat lemah dan ada waktu kita naik dan ada waktu kita jatuh. Tatkala jatuh, jika tiada simpanan, pastinya kita akan dibelenggu dengan bebanan kewangan dan akhirnya terjerumus dalam kancah hutang...

Kini, negara sedang mengalami zaman sulit lantaran inflasi dunia yang melanda. Kenaikan harga barang yang mendadak telah menyulitkan masyarakat pengguna. Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan ialah membeli barangan yang perlu sahaja terutama untuk juadah puasa kerana jika kebiasaan kita makan sepinggan mengapa kerana puasa kena tambah dua pinggan? Adakah perut kita menjadi besar atau mengembang? Puasakan juga mata dengan aneka makanan di Bazar atau elakkan sahaja dari mengunjunginya kerana makanan yang dimasak sendiri lebih bersih dan suci serta air tangan yang lebih diberkati untuk keluarga. Haa, masa inilah peluang menambahkan pahala boleh dilakukan.

Selamat menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang, maaf zahir dan batin.