Keusahawanan Daie

Assalamualaikum.
Manusia mula mengejar impian apabila sudah mengenali nilai wang dan apabila sudah mempunyai sumber pendapatan sendiri. Hidup mengejar dan dikejar wang seakan satu rutin hidup yang perlu ditempoh seharian sehingga bermacam-macam perkara berlaku hanya kerana WANG. Sehinggakan pada satu tahap, manusia sering berasa kurang dan semakin kurang walau pendapatan semakin bertambah dan terus bertambah. Malah semakin bertambah semakin dicari sehingga tidak pernah berasa PUAS...

Tuesday, January 5, 2010

DILEMA IBU BEKERJA: ANTARA KERJAYA DAN TANGGUNGJAWAB

Wanita merupakan golongan yang kuat walaupun kelihatan lemah. Malah terdapat hadis Rasulullah yang bermaksud, "Tangan yang menghayun buai, mampu menggoncang dunia" Kekuatan wanita ialah kerana sifatnya yang sabar sehingga mampu memikul tanggungjawab yang berat sama ada di rumah mahupun di tempat kerja. Bukan mudah memikul tanggungjawab di rumah apabila terpaksa menguruskan kerja-kerja rumah dan pendidikan anak-anak seorang diri di samping menguruskan tugas-tugas sebagai pekerja, dihambat pula dengan sikap boss atau rakan sekerja yang sering memeningkan kepala. Lantaran itu, beberapa soalan sering ditanyakan kepada wanita berkerjaya, manakah yang diutamakan antara kerjaya dan rumahtangga. Semoga perkongsian info ini akan menjadikan wanita lebih kuat dan bersemangat melaksanakan tugas-tugas yang diberikan.

1. Kerjaya dan mengurus rumahtangga bukan tugas yang mudah. Namun ramai yang memilih untuk memikul dua tangungjawab dalam satu masa. Apakah factor-faktor yang mendorong mereka untuk mengambil risiko yang sedemikian.
a. Factor pendidikan – wanita kini berpendidikan tinggi dan peluang lebih luas di pasaran pekerjaan.
b. Faktor ekonomi – wanita ingin membantu menambah ekonomi keluarga/ ada yang membantu orang tuanya
c. Faktor social – wanita mahu mendapatkan kelainan dalam hidupnya melalui pergaulan dengan masyarakat luar dan mendapat pengalaman bersosial dengan lebih baik.
2. Ada sesetengah yang mengatakan bahawa ibu yang berkerjaya menjadi factor penyumbang kepada masalah social. Sejauhmanakah pendapat itu benar?
Tugas utama seorang wanita ialah pengurus rumahtangga. Mereka tidak diwajibkan mencari rezeki. Tidak dinafikan kegagalan wanita mengurus rumahtangganya menjadi factor kepada masalah social. Anak-anak yang sedang membesar terutamanya remaja memerlukan perhatian dan bimbingan ibu bapa untuk melayari cabaran kehidupan remaja mereka. Ibu pula merupakan insane yang paling dekat dengan mereka yang sepatutnya menyelami kehendak mereka di samping membimbing mereka agar tidak terjerumus di lembah yang tidak diiingini. Sifat lembut seorang ibu dan sifat penyayang seorang ibu menjadi dambaan anak2 remaja yang memang sedang berada dalam situasi kucar kacir kerana inginkan kasih-sayang dan perhatian. Jika dua keinginan tersebut tidak diperolehi di rumah, mereka akan mencarinya di luar.

3. Jika seseorang ibu memilih untuk turut bekerja dan pada masa yang sama perlu mengurus keluarga, bagaimanakah pembahagian masa yang terbaik?
Seorang yang wanita yang berkerjaya sebenarnya seorang yang kuat. Mereka memerlukan tenaga tambahan untuk menguruskan kerja di samping menguruskan rumah tangga. Bagi yang mampu mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah, pasti tugas mereka lebih ringan dan boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada pendidikan anak-anak ketika di rumah.
Masa emas merupakan masa yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh seorang ibu. Walaupun masa yang ada dengan anak-anak hanya 1- 2 jam, jika ia berkualiti maka tanggungjawab pendidikan anak-anak pasti akan terlaksana dengan baik berbanding ibu yang tinggal seharian di rumah tetapi tidak memberi perhatian kepada anak-anaknya. Oleh itu cara membahagikan masa ialah;
a. Cuba balik awal ke rumah – walaupun sekali atau dua kali seminggu.
b. Selepas mandi, baringkan badan dan rehatkan diri (Bukan tidur) dalam 10 minit.
c. Tunaikan tugas di dapur – memasak masakan yang ringkas dan mudah disediakan. Air tangan ibu akan terkesan dalam pendidikan anak-anak secara tidak disedari. Tetapi jika terlalu penat dan tidak sempat, boleh membelinya di luar (jangan selalu).
d. Jika boleh, makan malam sebelum maghrib.
e. Solat maghrib berjemaah dengan anak-anak dan ajar anak mengaji sendiri (jika mampu).
f. Ajak anak-anak menonton berita bersama-sama sambil berbual-bual isu yang santai seperti kegemaran anak-anak, tentang buku cerita yang dibaca, tentang kawan-kawan dan tentang pengalaman semasa kita kanak-kanak.
g. Jam 8.30 mlm, pastikan anak-anak membuat kerja sekolah dengan bimbingan ibubapa dan mempersiapkan peralatan sekolah mereka.
h. Jam 10.30 mlm, pastikan anak-anak tidur mengikut waktunya begitu juga dengan ibu yang memerlukan kerehatan dan tidur yang cukup untuk keesokan harinya.
i. Gunakan waktu cuti sepenuhnya untuk bersama-sama anak-anak seperti membeli-belah, berjalan-jalan, makan di luar atau masak masakan istimewa, menonton cerita kegemaran atau bermain permainan bersama-sama.
j. Menasihatkan anak perlu dilakukan dengan tidak secara langsung melalui aktiviti bersama. Membebel adalah perkara yang paling tidak disukai oleh anak-anak terutama remaja.

4. Apakah pandangan Islam tentang isu ini?

Seorang wanita dalam Islam memikul amanah sebagai pengurus rumahtangganya. Walaupun mereka memilih untuk bekerja, tanggungjawab sebagai pengurus rumah tangga tetap dibahunya.
Allah berfirman dalam Surah ak-Tahrim ayat 6 yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu.”

Rasulullah SAW pula bersabda yang bermaksud,
“Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap orang daripada kamu akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya. Imam adalah pemimpin dan dia akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya. Suami adalah pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya. Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan dia akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya. Khadam adalah pemimpin terhadap harta tuannya dan dia akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya. Dan setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan dia akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya.”

Hadis di atas memperlihatkan tanggungjawab setiap manusia secara menyeluruh. Jika seseorang itu bekerja, maka dia akan bertanggungjawab ke atas kerja yang diamanahkan kepadanya.

Oleh itu, seorang wanita yang berkerjaya perlu mempunyai kekuatan diri dari aspek fizikal, mental dan rohani agar antara tanggungjawab kerjaya dan tanggungjawab di rumah dapat dilakukan dengan seimbang.

Wanita juga perlu berilmu dan pintar untuk mengenali jiwa anak-anak dan mampu menilai perbezaan perasaan dan kecenderungan anak-anak. Ibu merupakan insane yang secara semulajadi begitu dekat dengan anak-anak, cintanya, perasaan dan hatinya mudah untuk membuka hati anak-anak. Ketulusan hati seorang ibu akan menjadikan mereka mudah menerima bimbingan dan tunjuk-ajar.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi”

Suami sebagai rakan kongsi hidup seorang isteri perlu memahami situasi isteri dan perlu membantu isteri dalam kerja-kerja rumah bagi meringankan beban dan tanggungjawab isteri, terutama yang tidak mempunyai pembantu rumah.

5. Apakah nasihat untuk wanita yang berkerjaya dan dalam masa yang sama memikul tanggungjawab sebagai ibu?

a. Pilih kerjaya yang sesuai dengan fitrah wanita agar mudah melaksanakan tugas dalam kerjaya dan tugas sebagai isteri dan ibu
b. Menjaga kesihatan dan pastikan keperluan fungsi tubuh agar sentiasa sihat dan bertenaga. Dapatkan makanan tambahan yang baik bagi meningkatkan tenaga dan mempastikan kesihatan sentiasa terjaga.
c. Gunakan masa kualiti dengan sebaik-baiknya.
d. Dapatkan keizinan suami dalam semua hal.
e. Meningkatkan ilmu rumah tangga- tips penjagaan anak, tips memasak dll
f. Habiskan kerja-kerja pejabat di pejabat sahaja
g. Dapatkan tidur dan rehat yang mencukupi untuk persiapan keesokan hari yang ceria dan bertenaga.

No comments: