Institute Dr Raudah
Keusahawanan Dakwah
Thursday, October 23, 2025
MENULIS UNTUK MENYAMPAIKAN DAKWAH
Sejak akhir-akhir ini saya sudah suka menulis selain dari artikel akademik. Menulis untuk karya fiksyen menjadikan saya lebih santai dalam berfikir. Hal ini kerana penulisan fiksyen hanya memerlukan saya membina idea dari data memori yang sedia ada. saya tidak perlu menyelak beratus-ratus artikel jurnal di atas talian yang menjadikan sesekali jadi lelah.
Sejak akhir-akhir ini saya suka menulis anekdot, cerpen dan puisi. Karya yang saya minati kerana sifatnya yang pendek dan dibuat sekali duduk juga dibaca sekali duduk. Ketiga-tiga genre ini hanya memerlukan pengalaman yang diungkap semula dengan imaginasi dan tokok tambah. Masukkan juga unsur sastera dengan pembinaan plot yang menjadi dasar penceritaan. Masukkan watak antagonis dan watak protagonis dengan perwatakan yang melambangkan pemikiran, tindakan dan sifat watak yang hendak ditonjolkan.
Konflik dilahirkan antara watak antagonis dan watak protagonis agar konflik itu menjadi tanda tanya kepada pembaca. Melahirkan rasa ingin tahu pembaca, apakah tindakan watak utama untuk menyelesaikan konflik yang berlaku. Tidak perlu panjang-panjang kerana kita bukan buat novel.
sampai ke titik klimaks, konflik selesai. Selesai sama ada happy ending, sad ending atau pertanyaan yang memerlukan pembaca berfikir bagaimana kesudahan cerita (biasanya pembaca akan menyumpah penulis).
Jika cerpen atau anekdot, latar tempat tidak perlu banyak. Hanya satu sahaja sudah memadai. Satu tempat kejadian yang berlaku pertembungan konflik yang berlaku. Tempat boleh beralih melalui flash back. Jadi pembaca tidak perlu meraba-raba ke mana cerita dibawa.
Masukkan retorik yang menarik dalam cerita - gaya bahasalah.... Gaya penyampaian penting dalam sesebuah penulisan. Ia melambangkan kejernihan dan cerminan diri penulis. Gaya bahasa perlu dijaga agar lebih sopan dan menghormati pembaca. Sejahat manapun watak protagonis, elakkan mengeluarkan bahasa buruk yang mengganggu minda dan emosi pembaca. Hal ini kerana kita menulis untuk menyampaikan dakwah - teguran, nasihat dan ajakan agar kembali ke jalan Allah SWT.
Menulis kerana dakwah - perlu titipkan satu atau dua sumber utama dalam Islam sama ada ayat al-Quran atau ayat hadis yang boleh membimbing pembaca.
Lantaran itu seorang penulis perlu banyak membaca agar mindanya terus terserlah dengan idea-idea yang matang untuk dikongsikan kepada sasaran (mad'u).
Membaca jambatan ilmu - menulis tanpa jemu.
selamat menulis.
https://suno.com/s/jc0boGcYcsnELfBw
Dengar lagu yang dicipta untuk memberi semangat kepada penulis.
LIRIK LAGU
MENULIS ITU DAKWAH
(Oleh: Nor Raudah Hj Siren)
Terlakar indah emosi yang terguris
Namun minda terus optimis
Menjalin lukisan bahasa yang harmonis
Membaca itu jambatan ilmu
Menulis tidak pernah kau jemu
Berkongsi cerita pengalamanmu
Sambil mendidik anak bangsamu
Chorus
Penulis
Melakar cerminan diri
Mengungkap rasa di hati
Menjernih minda yang sejati
Penulis
Membawa cahaya kebenaran
Mengungkap beban kebatilan
Menulislah untuk dakwah
Kerana jihad itu indah
Tuesday, January 17, 2023
MEMILIKI ANAK OKU SATU ANUGERAH DAN AMANAH
Lama tidak mengisi ruang ini. Terlalu lama... kesibukan serta keberadaan media sosial yang lain menjadikan blog ini turut sepi. Namun hari ini, nota ini merupakan cicipan kisah yang mahu dikongsi bersama.
Memiliki anak OKU bernama Muhammad Arsyad As Syafie merupakan ujian paling mencabar hidupku selama ini. Pada awalnya agak sukar untuk menerima situasi ini seakan cuba menolak ketentuan itu dengan pelbagai usaha. Namun setelah dua tahun melalui pelbagai perasaan, akhirnya mengalah dan menerima takdir-Nya dengan hati terbuka. Barulah bermula episod penjagaanku secara betul untuk kanak-kanak OKU Syndrom Down.
Berulang alik ke PPUM memang sudah jadi rutin sejak lahir lagi untuk mendapatkan rawatan terbaik untuknya. Tubuhnya kuat, alhamdulillah. Dia boleh berjalan dan berlari walaupun agak berbeza dengan kanak-kanak normal. Tapi aku bersyukur, fizikalnya sihat. Cuma pernafasannya agak membimbangkan kerana setiap kali selesema, dia akan sesak nafas. Pada awal sakitnya dalam usia setahun. Dia merenjat-renjatkan tubuhnya mencari udara. Ya Allah, hanya kepada-Nya aku berserah. Dadanya tenggelam dan dalam awal fajar (jam 3 pagi) aku dan suami bergegas ke hospital PPUM dan dia menerima rawatan kecemasan hanya dengan menerima NIP sahaja sebanyak 3 kali. Alhamdulillah menjelang subuh, dia mula lena dalam dakapanku. aku mula menarik nafas lega. Sejak itu, aku amat berhati-hati dengan pernafasannya dan alhamdulillah apabila semakin besar, pernafasannya mula stabil dan dia jarang diserang sesak nafas lagi.
Kini, Muhammad Arsyad As Syafie sudah melangkah ke dunia persekolahan. Sekolah biasa dalam kelas khas. walaupun belum pandai membaca tetapi sudah mengenali huruf dan nombor. Itupun sudah pencapaian yang baik walaupun sudah berusia 7 tahun dan dalam usia 8 tahun. Pendedahan di alam persekolahan terutama persekitaran normal dan pergaulan rakan-rakan pelbagai OKU menjadikannya mahir bersosial. Sifatnya yang peramah suka menegur sesiapa sahaja yang ditemui terutama warga emas mencuit rasa mereka.
Sekarang dalam proses pendidikan ke toilet. Bukan mudah untuk mengajarnya ke tandas. Berkali-kali terbarai di lantai. Dan kesabaran seorang ibu dan abahnya tidak pernah putus asa.
Sahabat yang memiliki anak-anak OKU, terimalah mereka dengan hati terbuka. Beri mereka pendidikan, itulah hak mereka dan tanggungjawab kita. Mereka juga perlu hidup berdikari kerana usia kita tidak lama.
Monday, May 31, 2010
SABAR SIKIT LAGI....
Kurenung setiap wajah-wajah para banduan silih berganti. Wajah yang sedang mencari diri. Wajah yang gersang dalam kehidupan, yang terlepas untuk membuat kebajikan dalam hidupnya lantaran tidak sabar menghadapi kekalutan hidup.
Selama diberi peluang menjalani kehidupan bebas di dunia, mereka alpa bahawa mereka berada di bawah pengawasan Tuhannya. Mereka lupa, perbuatan mereka akan mendapat pembalasan dari Robbul Jalil lantaran sifat tidak sabar bernaung dalam diri. Mereka diuji oleh Allah dengan sedikit masalah - kewangan, keluarga, teman sebaya dan media. kerana tidak sabar, mereka tega merompak, tega meragut, mencuri, pecah rumah, membunuh, merogol dan pelbagai kesalahan yang memaksa mereka menjadi penghuni jerejak tinggi di sebut Penjara. Maka terpenjaralah dunia mereka dari kekalutan dunia. Terpenjaralah mereka dari nikmat dunia. Terpenjaralah mereka dari kemungkaran di luar sana. Umumnya, terpenjara seluruh anggota fizikal mereka kerana sifat TIDAK SABAR mereka menghadapi mehnah kehidupan.
Itulah peranan sabar dalam kehidupan. Jika kita bersabar sedikit, pasti kita tidak akan tersasar dalam menghadapi perjalanan hidup sebagaimana perlunya kesabaran di jalan raya. Jika kita tidak bersabar, pasti kita akan tersasar dan berlaku kemalangan yang tidak diinginkan.
Walau apapun, jika diteliti dengan lebih halus, Allah masih memberi mereka peluang. Peluang untuk mengenali diri. mengenali Tuhan dan mengenali tujuan kehidupan di dunia ini. Dengan sifat tidak sabar mereka, lalu bertemulah mereka kepada hidayah yang dilaksanakan oleh penggerak2 dakwah yang hadir dengan penuh kedaifan tetapi bersemangat waja untuk membimbing golongan yang lapar dan dahaga ilmu Islam. Maka mereka sudah tahu bahawa Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Mereka faham erti kesabaran. Mereka faham natijah kesabaran dalam hidup. Moga apa yang berlaku adalah muhasabah diri yang ikhlas dari dalam diri....
Friday, May 21, 2010
SYUKURKAH DAN BERBALOIKAH?
Aku cuba menyelusuri perjalananku sejak 4 tahun lalu. Aku lepaskan segala tanggungjawab kepada masyarakat dengan menyepi dan menyisihkan diri. Bergelut mencari data dan fakta. Bergelumang dengan buku dan nota. Mengadap komputer sehingga dini malam. Lalu aku menjadi penagih tegar dalam menuntut ilmu yang tersembunyi dalam timbunan buku-buku.
Apabila cuti 3 tahun kulalui, dengan PhD yang masih berbaki, aku mula menjadi insan kerdil yang tersisih dan menyisihkan diri. Lari dari tugas, lari dari sifat ringan tulang. Lari dari segala kecamukan tugas yang mengganggu tumpuan penulisan yang semakin rumit dan jerih... lalu aku mula berjalan diawang-awangan. Tidak peduli orang di persekitaran.
Selama itu juga pelbagai dugaan kualami. Umpat keji mula menjadi hidangan. Langkahku semakin longlai lantaran tiada sokongan dan dokongan. Lalu seorang profesor memberi pesanan agar aku mencari ayam jantan yang boleh berkokok- agar aku semakin kuat menghadapi segala rintangan dan cabaran. Memang sukar mencari ayam jantan di tengah bandar yang penuh dengan kekalutan. Tetapi ayam jantan itu kutemui dalam diri...
Hidupku semakin sukar di saat-saat PhD mula hendak dihantar, apabila kekangan tugasan semakin menghimpit. Lalu setelah mengharungi lautan yang berapi, akhirnya kulepaskan juga manuskrip terakhirku dengan jiwa yang semakin lemah dan gersang. Lantas, pesanan profesor kupegang lagi agar aku berehat dan lepaskan segala penat 4 tahun dengan 7 hari cuti. Tapi berbaloikah? Bila cutiku adalah untuk keluargaku yang 4 tahun terabai kerana sibuk dengan PhD.
Kesibukan semakin menghimpit, apabila satu lagi tugas menjadi rutin hidupku. Tetapi berbaloikah apabila menatap wajah2 banduan mengharap sekelumit ilmu akhirat yang terabai dalam diri mereka. Lantas satu persatu menarik insaf diri bahawa kesukaranku tidak sesukar hidup mereka...
Lantas, aku mesti menjadi manusia bersyukur kerana dugaan dan cabaran yang aku lalui adalah sebagaimana yang aku mampu hadapi...Ya Allah, janganlah Engkau berikan aku beban yang tidak sanggup aku pikul...
Monday, March 29, 2010
BERJINAK DENGAN KOPERASI
Cabaran sebagai ahli masyarakat semakin teruji apabila tiba-tiba terkelompok dalam kumpulan ahli lembaga koperasi yang dikenali sebagai KOPERASI SERI MURNI PUCHONG (KSMP). Semurni namanya, perjuangannya membela IT (Ibu2 Tunggal) dan OKU (Orang Kurang Upaya)serta bangsa yang ingin menjadi usahawan. Rupa-rupanya begitu besar ruang dan peluang dalam perniagaan ini.
Baru-baru ini, KSMP telah mengadakan SEMINAR PERUNDANGAN DAN KEUSAHAWANAN MELALUI KOPERASI pada 20 Mac 2010 di Maktab Kerjasama Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan MKM sendiri. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YBhg Raja Maimon Raja Yusof, Pengarah Latihan,MKM.
Menurut YM Raja Maimon, MKM sedia memberi perkhidmatan latihan, kos makan dan minum dan kemudahan tempat seminar secara percuma kepada ahli-ahli koperasi yang memerlukan perkhidmatan MKM.Ia merupakan sokongan dan dorongan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh ahli-ahli koperasi di Malaysia.
Selain beliau, pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Encik Zazali Haron telah menjelaskan fungsi dan prinsip koperasi yang menekankan keanggotaan secara sukarela dan memerlukan kerjasama yang baik antara ahli agar koperasi dapat berfungsi sebagaimana yang diharapkan untuk kebaikan bersama. SKM sebagai pemantau pergerakan dan aktiviti koperasi di Malaysia menyediakan banyak bantuan dari segi kewangan untuk ahli-ahli koperasi. Antaranya ialah mengadakan program mentor-mentee dan pameran/ expo koperasi bernilai RM50k hingga RM10 Juta sama ada di dalam mahupun ke luar negara.Beliau juga mengingatkan agar koperasi tidak mengenakan bayaran2 yang membebankan ahli kerana fungsi asal koperasi ialah membantu ahli-ahlinya.
Tuan Haji M. Nashan Singgan, Setiausaha ANGKASA negeri Selangor pula menekankan jati diri yang perlu ada dalam diri usahawan koperasi. Menurut beliau, seseorang usahawan perlu mempunyai kekuatan akal, rohani dan fizikal serta mampu mengenalpasti kebolehan menjalankan aktiviti keusahawanan. Beliau juga mengupas falsafah koperasi iaitu sebagai pertubuhan yang berkerjasama untuk mendapatkan manfaat bersama-sama dengan konsep bahawa manusia perlu bersatu menuju hala tuju yang sama, menolong diri sendiri, memajukan anggota dan mempunyai rasa kepunyaan bersama-sama. Aktiviti koperasi yang dijalankan mempunyai kaitan dengan aktiviti sosial, ekonomi dan budaya yang membentuk persekitaran dan menjaga kebajikan ahli-ahlinya. Dan nilai moral yang perlu diterapkan dalam pergerakan kopersi ialah sifat siddiq, amanah, telus, tanggungjawab dan penyayang.
Pembentang terakhir didatangkan khas dari Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) iaitu Encik Khairul Anuar Yahaya, Senior Executif Bank Rakyat. Beliau menerangkan kemudahan Pembiayaan Mikro-i untuk usahawan kecil-kecilan yang bergiat sepenuh masa dalam bidang pertanian, perkilangan dan perkhidmatan dengan syarat-syarat tertentu. Pembiayaan yang diberikan ialah antara RM1k - RM100k.
Secara kesimpulannya, pendedahan terhadap kemudahan dan kelebihan yang ada dalam koperasi merupakan satu cara membesarkan perniagaan agar ahli boleh saling bantu-membantu dari segi modal dan kepakaran. Perkara yang penting dalam kperasi ialah sikap ikhlas ahli untuk saling berkerjasama dan bantu-mambantu dalam urusan perniagaan ahli-ahlinya. SELAMAT BEKERJA DALAM KOPERASI.
Wednesday, January 6, 2010
TABAHNYA ANAKKU
Permintaannya amat mulia, sesejuk air yang mengalir di denai perbukitan. Tetapi bagai panahan petir menyentak hati seorang ibu yang hanya memiliki empat permata hati.
Anak bungsuku, Nur Aisyah al-Humayra' - itulah namanya yang kuingin dia menjadi sri kandi yang memperjuangkan agamanya sebagaimana Ummul Mukminin. Namanya yang dikenali sebagai Ummul Mukminin ini rupa-rupanya mempunyai jiwa yang kental dan kuat. Walau wajahnya memperlihatkan kemanjaan seorang anak bongsu tetapi dalam dirinya teguh sebagai insan dan anak yang mempunyai cita-cita dan keinginan yang murni.
Tidak tergamak rasanya melepaskan pelukannya setiap pagi dan malam berserta omelan manjanya meminta itu dan ini dari seorang ibu bernama aku.
Tidak tega rasanya membiarkan anak yang manja ini dididik dan dibentuk oleh orang lain dalam usianya yang masih muda.
Lantas, ibu ini teringat ibu As-Shafie yan begitu tega menghalau anaknya keluar rumah seusia begitu muda hingga berbelas tahun - demi segunung ilmu.
Lalu, kutarik nafas dan menahan air mata dari lerai, membina keteguhan dan ketabahan seorang ibu yang mahu melihat anaknya menjadi srikandi, berjuang menuntut ilmu, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, "Tuntutlah ilmu walau hingga ke negeri China". Tetapi anakku hanya menuntut di Sg Serai- di Malaysia, 45 minit dari rumah.
Aku juga perlu tabah, sebagaimana tabahnya anakku itu.
Oh tuhan, andai ini takdir perjanjian antara-Mu dan anakku, yang menjadi hamba-Mu, sesungguhnya ketentuan-Mu lebih berhak ke atasnya. Aku relakan perjuangannya dan meleraikan pelukan manjanya dengan doa yang akan sentiasa kutitip untuknya,
"Ya Allah, jadikanlah anak-anakku pejuang kalimahmu. Jadikan kekentalan jiwanya sekental Aisyah as-Siddiqin. Teguhkan imannya, seteguh Rabiatul Adawiyah dan kesabarannya sesabar Siti Khadijah. Ya Allah, sempurnakan hajat dan cita-citanya meraih ilmu dunia dan akhirat. jadilah anak-anakku, anak yang solehah, anak yang berguna, anak yang bahagia dan anak yang sejahtera di dunia dan di akhirat."
p/s anakku baru 10 tahun, memilih untuk dididik di asrama sebagaimana kakaknya yang sulung. Lalu yang tinggalkan hanya dua orang abangn-abangnya di rumah sebagai cahaya yang menerangi rumahku syurgaku.
-
Wanita merupakan golongan yang kuat walaupun kelihatan lemah. Malah terdapat hadis Rasulullah yang bermaksud, "Tangan yang menghayun bu...
-
Lama tidak mengisi ruang ini. Terlalu lama... kesibukan serta keberadaan media sosial yang lain menjadikan blog ini turut sepi. Namun hari ...
-
Puteri Duyung berenang-renang di perkarangan taman batu karang yang dihiasi kerikil dan hidupan lautan. Kemudian melompat ke atas tebing bat...






