Thursday, October 23, 2025

MENULIS UNTUK MENYAMPAIKAN DAKWAH


 Sejak akhir-akhir ini saya sudah suka menulis selain dari artikel akademik. Menulis untuk karya fiksyen menjadikan saya lebih santai dalam berfikir. Hal ini kerana penulisan fiksyen hanya memerlukan saya membina idea dari data memori yang sedia ada. saya tidak perlu menyelak beratus-ratus artikel jurnal di atas talian yang menjadikan sesekali jadi lelah.

Sejak akhir-akhir ini saya suka menulis anekdot, cerpen dan puisi. Karya yang saya minati kerana sifatnya yang pendek dan dibuat sekali duduk juga dibaca sekali duduk. Ketiga-tiga genre ini hanya memerlukan pengalaman yang diungkap semula dengan imaginasi dan tokok tambah. Masukkan juga unsur sastera dengan pembinaan plot yang menjadi dasar penceritaan. Masukkan watak antagonis dan watak protagonis dengan perwatakan yang melambangkan pemikiran, tindakan dan sifat watak yang hendak ditonjolkan. 

Konflik dilahirkan antara watak antagonis dan watak protagonis  agar konflik itu menjadi tanda tanya kepada pembaca. Melahirkan rasa ingin tahu pembaca, apakah tindakan watak utama untuk menyelesaikan konflik yang berlaku. Tidak perlu panjang-panjang kerana kita bukan buat novel.

sampai ke titik klimaks, konflik selesai. Selesai sama ada happy ending, sad ending atau pertanyaan yang memerlukan pembaca berfikir bagaimana kesudahan cerita (biasanya pembaca akan menyumpah penulis).

Jika cerpen atau anekdot, latar tempat tidak perlu banyak. Hanya satu sahaja sudah memadai. Satu tempat kejadian yang berlaku pertembungan konflik yang berlaku. Tempat boleh beralih melalui flash back. Jadi pembaca tidak perlu meraba-raba ke mana cerita dibawa.

Masukkan retorik yang menarik dalam cerita - gaya bahasalah.... Gaya penyampaian penting dalam sesebuah penulisan. Ia melambangkan kejernihan dan cerminan diri penulis. Gaya bahasa perlu dijaga agar lebih sopan dan menghormati pembaca. Sejahat manapun watak protagonis, elakkan mengeluarkan bahasa buruk yang mengganggu minda dan emosi pembaca. Hal ini kerana kita menulis untuk menyampaikan dakwah - teguran, nasihat dan ajakan agar kembali ke jalan Allah SWT.

Menulis kerana dakwah - perlu titipkan satu atau dua sumber utama dalam Islam sama ada ayat al-Quran atau ayat hadis yang boleh membimbing pembaca. 

Lantaran itu seorang penulis perlu banyak membaca agar mindanya terus terserlah dengan idea-idea yang matang untuk dikongsikan kepada sasaran (mad'u).

Membaca jambatan ilmu - menulis tanpa jemu.

selamat menulis.

https://suno.com/s/jc0boGcYcsnELfBw 

Dengar lagu yang dicipta untuk memberi semangat kepada penulis.

LIRIK LAGU

MENULIS ITU DAKWAH

(Oleh: Nor Raudah Hj Siren)

 etiap tititis tinta menulis
Terlakar indah emosi yang terguris
Namun minda terus optimis
Menjalin lukisan bahasa yang harmonis
 
Membaca itu jambatan ilmu
Menulis  tidak pernah kau  jemu
Berkongsi cerita pengalamanmu
Sambil mendidik anak bangsamu
 
Chorus
Penulis
Melakar cerminan diri
Mengungkap rasa di hati
Menjernih minda yang sejati
 
Penulis
Membawa cahaya kebenaran
Mengungkap beban kebatilan
Menulislah untuk dakwah
Kerana jihad itu indah

 

No comments: